Beberapa bahagian di negeri New South Wales (NSW) yang ibu negerinya Sydney mengalami banjir dengan jumlah hujan yang lazimnya diterima dalam sebulan, turun dalam tempoh 24 jam, lapor Agensi Anadolu yang memetik penyiar tempatan SBS News.
Perintah supaya berpindah kekal untuk pekan-pekan di sepanjang Sungai Napean dan Hawkesbury. Paras air Sungai Hawkesbury dijangka mencapai paras maksimum pada 9.6 meter dengan pekan-pekan berdekatan bersedia menghadapi banjir.
Hujan lebat sejak Jumaat menyaksikan 300 penduduk dipindahkan di timur laut Sydney, dengan 5,000 sukarelawan bertugas sepanjang malam membantu mereka yang terkesan, menurut penyedia perkhidmatan kecemasan.
Cuaca buruk itu mengakibatkan tanah runtuh, banjir kilat dan kediaman dinaiki air sementara pekerja perkhidmatan kecemasan telah melakukan 200 kerja menyelamat banjir di kawasan terjejas, katanya.
Menurut Pesuruhjaya Kecemasan Negeri Carlene York, 60 isyarat kecemasan kekal aktif di seluruh negeri dengan Perkhimatan Kecemasan Negeri NSW mengeluarkan sekurang-kurang 12 perintah supaya berpindah berikutan kebimbangan banjir.
Penduduk dan pemilik perniagaan dibenarkan pulang untuk memeriksa kerosakan pada hartanah mereka selepas hujan antara 200 hingga 250 milimeter dalam tempoh 24 jam.
-- BERNAMA