ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 7 Oktober 2020.


1) COVID-19: Kes positif global melebihi jumlah populasi Malaysia

JUMLAH kumulatif kes positif global COVID-19 terkini melebihi jumlah populasi Malaysia, dengan 35.7 juta kes direkodkan.

Data terbaharu John Hopkins University menunjukkan, lebih 290,000 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.


2) Ribuan sertai protes bantah Undang-undang Cipta Kerja Indonesia

RAKYAT Indonesia turun ke jalanan pada Selasa, membantah kelulusan Undang-Undang Cipta Kerja yang dikritik kerana didakwa berpihak kepada kepentingan perniagaan berbanding hak pekerja.

Kelulusan undang-undang itu membabitkan semakan semula ke atas lebih 70 undang-undang sedia ada.


3) Bintang rock Eddie Van Halen meninggal dunia akibat kanser

BINTANG rock terkenal Eddie Van Halen meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat kanser.

Pemergian mendiang diumumkan anaknya, Wolf Van Halen, menerusi Twitter pada 3.26 pagi Selasa waktu Malaysia.


4) Penasihat Kanan White House pula positif COVID-19

PENASIHAT Kanan White House, Stephen Miller menjadi pegawai terbaharu yang dilaporkan positif COVID-19 sejak Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangkiti virus tersebut minggu lalu.

Kes terbaharu itu menyusul selepas White House dilihat berusaha untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19 selepas Trump disahkan positif pada Jumaat lalu.


5) COVID-19: Facebook padam, Twitter sembunyi hantaran dibuat Trump

LAMAN sosial Facebook bertindak memadam hantaran dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mendakwa wabak COVID-19 kurang berbahaya berbanding selesema.

BBC melaporkan, selain Facebook, ciapan Trump di Twitter juga 'disembunyikan' di sebalik satu amaran kerana dianggap "menyebarkan maklumat mengelirukan dan berpotensi merbahaya" berkaitan COVID-19.


6) Hanya tujuh kes baharu direkodkan di China, tiada kematian

SITUASI COVID-19 di China terus menunjukkan perkembangan positif selepas hanya tujuh kes direkodkan setakat Selasa, berbanding 12 kes pada hari sebelumnya.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional dalam satu kenyataan memaklumkan, semua jangkitan baharu adalah kes import, melibatkan pelancong dari luar negara.


7) Itali perkenal ujian swab untuk kanak-kanak

PIHAK berkuasa kesihatan Lazio di Itali melancarkan ujian air liur untuk mengesan jangkitan COVID-19, iaitu suatu proses mudah dan tidak invasif untuk kanak-kanak.

Ujian itu dijalankan secara projek perintis oleh Istituto Grassi di tiga sekolah di bandar Fiumicino, Rom, pada Selasa.


8) Penyokong Jokowi kecam Najwa Shihab, dakwa lakukan buli siber ke atas menteri

INGAT lagi kisah wartawan Indonesia, Najwa Shihab yang menemu bual kerusi kosong dalam siaran langsung di televisyen?

Ternyata insiden itu tidak digemari penyokong kepada Jokowi yang menamakan diri mereka Relawan Jokowi Bersatu, menyatakan mereka ‘terluka’ dengan tindakan Najwa itu.


9) COVID-19: Salah satu antibodi rawat Trump daripada pesakit Singapura

SALAH satu antibodi yang digunakan untuk merawat Presiden Donald Trump yang dijangkiti COVID-19 baru-baru ini, dilaporkan diambil daripada sampel darah tiga pesakit di Singapura.

Menurut laporan Asian Scientist Magazine, REGN-COV2 merupakan kombinasi dua antibodi terhadap protein SARS-CoV-2 yang dibangunkan syarikat bioteknologi Regeneron yang berpangkalan di Amerika Syarikat.


10) Lagi vaksin COVID-19 China terbukti selamat ujian fasa pertama

Vaksin COVID-19 China yang dibangunkan oleh Institut Biologi Perubatan di Akademi Sains Perubatan Cina terbukti selamat dalam percubaan klinikal peringkat awal.

Perkara itu didedahkan oleh para penyelidik dalam kajian yang dimuat naik menerusi laman perubatan Medrxiv.org, pada Selasa.