ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 3 November 2020.

1) COVID-19: Johnson pertahan keputusan laksana sekatan kali kedua

PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson mempertahan keputusan melaksanakan perintah sekatan kali kedua di England.

Kata Johnson, keputusan itu boleh mengelak bencana perubatan.

2) Trump yakin ulang kemenangan pilihan raya Presiden AS

DONALD Trump meluahkan keyakinan akan mengulangi kemenangan dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) kali ini di tengah-tengah siasatan berhubung peranan Rusia dalam kempen pilihan raya 2016.

Trump menegaskan tidak akan terjejas dengan apa jua siasatan yang dijalankan ke atasnya.


3) COVID-19: WHO sahkan tiada penularan di ibu pejabat Geneva

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan tiada penyebaran atau kluster COVID-19 di ibu pejabat agensi kesihatan dunia itu di Geneva.

Menurut Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, beberapa kes positif telah dikesan dan menular dalam kalangan komuniti.


4) COVID-19: Kes positif global 46.8 juta, kematian 1.2 juta

JUMLAH kumulatif kematian global akibat COVID-19 mencecah 1.2 juta kes.

Statistik Johns Hopkins University menunjukkan, Amerika Syarikat (AS) kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 231,000 kes, diikuti Brazil dengan lebih 160,000 kes.


5) Pemilihan 2020 AS: Memahami Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat

PILIHAN Raya Presiden Amerika Syarikat disifatkan mencatat kelainan, berbanding sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19.

Pengundi di AS akan menentukan sama ada Donald Trump atau pencabarnya dari Demokrat, Joe Biden memperoleh jumlah undi paling banyak dalam pemilihan yang diadakan 3 November itu.


6) Pilihan Raya Presiden AS: Ini antara fakta norma baharu pengundian

PILIHAN Raya Presiden Amerika Syarikat tahun ini melakar sejarah baharu apabila ia diadakan tatkala negara itu menjadi negara paling teruk dilanda pandemik COVID-19.

Keputusan undian pos, lonjakan pungutan suara awal dan langkah keselamatan dan pencegahan COVID-19 telah mengubah hampir setiap aspek pengundian.


7) Singapura akan tamatkan terbitan wang kertas S$1,000 mulai 1 Januari 2020

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini mengumumkan ia merancang untuk menamatkan terbitan wang kertas S$1,000 mulai 1 Jan, 2021.

Bank pusat itu berkata mulai sekarang dan sehingga Disember 2020, wang kertas S$1,000 hanya akan disediakan dalam kuantiti yang terhad untuk setiap bulan.


8) Penghantaran jemaah umrah: MKN, KKM akan dirujuk

KUALA LUMPUR: Khidmat nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dirujuk dalam penghantaran jemaah umrah Malaysia ke Tanah Suci.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan bersama berkata bagi kerajaan, keselamatan serta kesihatan jemaah umrah Malaysia adalah keutamaan tertinggi.


9) Khamenei kekal dengan polisi Tehran-AS, tidak kira keputusan pilihan raya

Keputusan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) tidak akan mengubah polisi Tehran terhadap Washington, kata Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, lapor Reuters.

“Polisi Iran dengan AS sudah ditetapkan dan ia tidak akan berubah walaupun terjadinya perubahan pemimpin sekali pun. Siapa menjadi pemimpin adalah tidak penting bagi kami,” kata Khamenei dalam satu ucapan rasmi dalam siaran langsung televisyen nasional.


10) Afghanistan mahu tuntut bela insiden serangan di Universiti Kabul

KABUL: Afghanistan akan menuntut bela ke atas militan Daish yang menyerang Universiti Kabul ketika ia mengadakan pesta buku yang dihadiri duta besar Iran.

Presidennya, Ashraf Ghani berikrar, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan memastikan nasib sekurang-kurangya 22 korban dalam serangan itu mendapat pembelaan.