Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 11, 2020 15:06 MYT
November 11, 2020 15:06 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 11 November 2020.
Seramai empat orang termasuk diplomat dari Perancis cedera dalam serangan bom di Jeddah, Arab Saudi pada Rabu, lapor Kementerian Luar Perancis.
Mereka dikenal pasti sebagai antara konsulat Eropah yang menghadiri Hari Peringatan Perang Dunia Pertama (WW1) di tanah perkuburan bukan Islam Jeddah yang disambut setiap tahun bagi menghormati mangsa perang terkorban.
Hong Kong dan Singapura bersetuju untuk mewujudkan gelembung perjalanan atau 'travel bubble' yang akan bemula akhir bulan ini.
Usaha tersebut membolehkan pengembara dari kedua-dua negara itu pergi dan balik ke tanpa perlu menjalani proses kuarantin.
China merekodkan 17 kes baharu positif COVID-19 pada Rabu dengan satu daripadanya adalah penularan tempatan manakala 16 yang lain kes import.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional memaklumkan kes penularan tempatan direkodkan di wilayah Anhui.
Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Khalifa Salman Al Khalifa, 84, meninggal dunia pada Rabu ketika menerima rawatan di Hospital Mayo Clinic, Amerika Syarikat (AS).
Agensi Berita Kebangsaan Bahrain melaporkan, Sheikh Khalifa yang merupakan antara individu paling lama menjawat jawatan sebagai perdana menteri di dunia meninggal dunia pada waktu pagi.
Ketika pujian mencurah-curah disampaikan dari seluruh dunia kepada pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS), terutamanya tentang sejarah terlantiknya Naib Presiden AS wanita pertama, sebahagian lagi dari warga dunia belum terubat rasa kecewa.
Kekecewaan itu datang dari dunia Islam umumnya, yang tidak meletakkan harapan tinggi bahawa wanita kulit hitam berdarah campuran Asia Selatan itu, boleh selari dengan ‘perjuangan yang lebih baik’ dalam paksi politiknya.
Pentagon mengumumkan lebih ramai meletakan jawatan pada Selasa, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menulis di Twitter mengenai pemecatan Setiausaha Pertahanan, Mark Esper, lapor Agensi Anadolu.
"Hari ini, Pemangku Setiausaha Pertahanan untuk Dasar, Dr. James Anderson, Ketua Setiausaha Pertahanan untuk Perisikan dan Keselamatan, Joseph Kernan dan Ketua Turus kepada Setiausaha Pertahanan, Jen Stewart menyerahkan surat peletakan jawatan," katanya dalam satu kenyataan.
Saintis Ugur Sahin dan Ozlem Tureci menghabiskan hampir sepanjang hidup mereka dalam menyumbang kepada bidang penyakit berjangkit dan onkologi.
Kini, pasangan suami isteri itu dikenali seluruh dunia kerana hasil titik peluh mereka membangunkan vaksin COVID-19 yang pertama dengan keberkesanan tinggi.
Apple memperkenalkan siri baharu untuk generasi 'Macbook' dalam satu majlis pengenalan maya yang diadakan awal pagi tadi di California, bertemakan 'One More Thing'.
Dalam pengenalan berkenaan, siri Macbook Air, Mac Mini dan Macbook Pro diperkenalkan menggunakan cip pemproses Apple sekali gus menjadi produk pertama yang menggunakan cip berkenaan.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo mengesahkan pentadbiran Donald Trump kini bersedia memasuki penggal kedua.
Beliau juga yakin peralihan itu bakal berjalan lancar.
Presiden Donald Trump beri bayangan tidak akan berlaku proses peralihan kuasa antara beliau dengan pemenang Pilihan Raya Presiden, Joe Biden dalam masa terdekat.
Sebaliknya Trump menegaskan akan terus mencabar keputusan pilihan raya.
#Jeddah
#Perancis
#Donald Trump
#Kamala Harris
#Amerika Syarikat
#White House
#Hong Kong
#Singapura
#Bahrain