Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Jun 25, 2021 15:58 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 25 Jun 2021.
1. Gelandangan | 60 hotel di New York jadi tempat perlindungan
Sejumlah 60 hotel di serata bandar New York diubah suai menjadi tempat perlindungan bagi gelandangan susulan dilanda pandemik COVID-19. Namun, dengan angka kes positif yang semakin menurun dan tempoh darurat hampir tamat, gelandangan yang menghuni hotel bimbang tentang masa depan mereka.
2. COVID-19 | Tanam pokok bagi memperingati mangsa korban
Lebih 3,000 anak pokok ditanam di Colombia bagi memperingati mangsa korban COVID-19. Angka kematian di negara itu melepasi 100,000 minggu ini, manakala lebih 4 juta kes positif direkodkan setakat ini.
3. India catat 51,667 kes baharu COVID-19
Jumlah kes COVID-19 di India meningkat kepada 30,134,445 pada Jumaat, selepas menambah 51,667 lagi kes baharu sepanjang 24 jam lalu.
4. Sebar berita palsu, kritik monarki: Menteri Thailand ancam saman Facebook
Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand mengancam akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laman sosial Facebook kerana enggan menutup akaun pengguna yang didakwa menyebarkan berita palsu dan mengkritik monarki.
5. Konflik Myanmar | 230,000 rakyat Myanmar hilang tempat tinggal
Menurut pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), pihaknya sedang menggerakkan operasi bantuan bagi membantu mereka. Bagaimanapun, terdapat halangan pertempuran daripada kumpulan bersenjata dengan keganasan masih belum surut sehingga kini.
6. Pangsapuri Runtuh | Arahan kecemasan dikuat kuasakan
Dalam pada itu, pihak berkuasa masih belum dapat mengenal pasti punca berlakunya runtuhan pangsapuri 12 tingkat itu. Susulan itu, Datuk Bandar Miami-Dade menandatangani arahan kecemasan bagi mendapatkan bantuan sepatutnya dari Kerajaan Persekutuan.
7. Tentera kanak-kanak terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di Burkina Faso - UNICEF
Pembunuhan beramai-ramai di Burkina Faso baru-baru ini yang meragut lebih 100 nyawa dilakukan oleh tentera kanak-kanak berusia 12 hingga 14 tahun, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Khamis.
8. Kematian Benigno Aquino, Filipina berkabung 10 hari
Filipina akan berkabung selama 10 hari bermula 24 Jun, berikutan kematian bekas Presiden Benigno "Noynoy" Aquino III.
9. Pandemik COVID-19 tidak akan berakhir sekiranya bekalan vaksin tidak diedarkan sama rata - Laporan
Jika dibandingkan persaingan antara kadar kebolehjangkitan dan kadar jumlah vaksinasi seluruh dunia, jumlah vaksinasi menunjukkan prestasi yang tidak memuaskan.
10. Pusat latihan seni mempertahankan diri terbakar, 18 terkorban
Satu kebakaran besar memusnahkan pusat latihan seni mempertahankan diri di wilayah Henan, China pada Jumaat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 18 mangsa.
#Astro Awani #PBB #China #Thailand #India #Myanmar #Filipina #COVID-19 #pandemik #vaksin #kes positif #kadar kebolehjangkitan