ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 27 Oktober 2021.

1. Malaysia cadang ASEAN, Jepun teroka pegeluaran vaksin di rantau ASEAN

Malaysia telah mencadangkan ASEAN dan Jepun meneroka kemungkinan meminjamkan pakar penyelidik mereka ke Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baharu ASEAN untuk usaha ke arah pengeluaran vaksin di rantau ini.

2. Vaksin COVID-19 | Australia mula beri vaksin dos penggalak

Australia mula membenarkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk mereka berusia lebih 18 tahun. Manakala dos ketiga dijangka ditawarkan kepada seluruh penduduk bermula bulan depan.

3. Mesyuarat ASEAN | Singapura bimbang situasi di Myanmar

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat Ke-9 menyatakan kekecewaan beliau terhadap kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan konsensus lima perkara ASEAN.

4. Anak Shah Rukh Khan masih di penjara, keputusan ikat jamin diketahui petang ini

Aryan Khan terpaksa ditahan di penjara sehingga ke hari ini berikutan Mahkamah Tinggi Bombay pada Selasa menolak permohonan jaminan anak teruna aktor ternama dunia, Shah Rukh Khan itu.

5. Konflik Sudan | Rampasan kuasa elak perang saudara

Pemimpin tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah Al Burhan mempertahankan rampasan kuasa yang dilancarkan. Kata beliau, rampasan kuasa perlu dilakukan untuk elak perang saudara.

6. COVID-19 | Angka korban global melebihi 4.96 juta kes

Angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini makin hampiri 5 juta. Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat yang kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 738 ribu kes, menjadikan angka kematian global akibat virus itu kini 4.96 juta.

7. Vaksin COVID-19 | NZ sasar 40% pekerja lengkap vaksinasi

New Zealand akan memperluaskan mandat vaksinasi COVID-19 termasuk terhadap ribuan pekerja yang dikategorikan sebagai kumpulan yang bekerja rapat dengan pelanggan mereka termasuk di restoran, bar, gimnasium dan salon rambut.

8. Vaksin COVID-19 | Panel FDA sokong Pfizer untuk kanak-kanak 5-11 tahun

Panel Penasihat Kesihatan Amerika Syarikat menyokong saiz dos bagi vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak jenis Pfizer. Perkara itu memungkinkan Amerika menjadi negara pertama memulakan vaksinasi pada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

9. COVID-19 | Belgium kenakan sekatan pandemik semula

Kerajaan Belgium mengenakan semula beberapa sekatan pandemik bermula Jumaat ini berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 dan kemasukan ke hospital. Serentak itu, penggunaan pelitup muka di beberapa tempat seperti bar, restoran dan kelab kecergasan diwajibkan.

10. ASEAN-AS | Biden umum komitmen AS$100 juta untuk ASEAN

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ikrar komitmen 100 juta dolar untuk inisiatif meningkatkan kerjasama dengan 10 negara anggota blok ASEAN. Menurut Biden hubungan Amerika dan Asean amat penting untuk masa depan satu bilion populasi.