ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 15 Jun 2022.

1. Pasca-COVID-19 | Harga tiket penerbangan di AS meningkat

Harga tiket penerbangan di Amerika Syarikat (AS) terus catat peningkatan sebanyak 47 peratus sejak Januari dan kekal lebih tinggi berbanding sebelum pandemik COVID-19. Ini menyebabkan kelembapan dari segi penjualan tiket yang boleh dijual oleh syarikat penerbangan.

2. Wimbledon 2022 | Serena Williams umum penyertaan

Legenda tenis dunia, Serena Williams umum akan beraksi di Terbuka Wimbledon 2022 menerusi satu hantaran dalam akaun Instagramnya pada Selasa. Pengumuman dibuat selepas keberadaannya dalam sukan tenis terus menjadi perbualan pemerhati sukan itu selepas tidak beraksi hampir setahun.

3. Krisis Rusia-Ukraine | Harga tenaga, bahan api terus meningkat di Eropah

Harga tenaga, bahan api dan makanan di Eropah terus meningkat sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Peningkatan ini memberi impak kepada orang awam disebabkan ia memberi kesan kepada bahan keperluan asas, makanan dan meningkatkan kos perjalanan.

4. Hanya "penyelesaian dua negara" mampu tamatkan konflik Israel-Palestin - PM Palestin

Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution adalah satu-satunya cara menamatkan konflik Israel-Palestin, tegas Perdana Menteri Palestin Mohammed Ishtaye pada Selasa.

5. Australia mansuh peraturan pemakaian pelitup muka di lapangan terbang

Dalam satu kenyataan pada Selasa malam, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa atas nasihat Jawatankuasa Prinsipal Perlindungan Kesihatan Australia (AHPPC), arahan memakai pelitup muka di terminal lapangan terbang akan dimansuhkan mulai Sabtu.

6. PBB gesa negara anggota tingkat tekanan ke atas tentera Myanmar

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia menggesa negara anggota untuk meningkatkan tekanan ke atas tentera Myanmar susulan laporan berterusan keganasan dan pencabulan hak asasi manusia di negara Asia itu.

7. Kafe terbakar, lapan maut ketika sambut hari jadi

Satu letupan diikuti kebakaran berlaku semasa majlis hari jadi di sebuah kafe di pinggir bandar Shahriar di Tehran, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Tasnim.

8. Pencemaran udara turunkan jangka hayat lebih dua tahun - Kajian

Kajian yang diterbitkan pada Selasa itu menunjukkan, kesan pencemaran udara setanding dengan merokok dan jauh lebih teruk daripada HIV/AIDS serta keganasan.

9. Menteri Pakistan minta rakyat kurangkan minum teh

Menteri Perancangan Pakistan, Ahsan Iqbal meminta orang ramai mengurangkan pengambilan air teh bagi menjimatkan pertukaran wang asing.

10. WHO mesyuarat minggu depan kaji penularan cacar monyet

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memanggil mesyuarat tergempar minggu depan bagi menilai sama ada penularan cacar monyet ketika ini mewakili kecemasan kesihatan awam atau kebimbangan antarabangsa.