ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 23 Ogos 2022.

1. Kemarau | Keluasan Tasik Poyang di China terus mengecil

Cuaca panas dan kemarau berpanjangan di China menyebabkan sebuah tasik di wilayah Jiangxi mengalami kekeringan melampau. Menerusi imej satelit dikeluarkan, jelas menunjukkan keluasan Tasik Poyang mengecil daripada 4,000 kilometer persegi (km/p) pada April kepada 600 km/p.

2. British Airways batalkan 10,000 penerbangan untuk tempoh 6 bulan akan datang

British Airways bakal membatalkan kira-kira 10,000 penerbangan dalam tempoh enam bulan akan datang susulan isu had kapasiti penumpang di Lapangan Terbang Heathrow, lapor media pada Isnin.

3. Banjir, hujan lebat di Pakistan ragut 820 nyawa

Sekurang-kurangnya 820 orang maut manakala 1,315 lagi cedera dalam kejadian berasingan akibat hujan lebat yang melanda seluruh Pakistan sejak 14 Jun, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) pada Isnin.

4. Bersara | Dr Anthony Fauci bersara Disember ini

Dr Anthony Fauci, pakar penyakit berjangkit, dan menjadi jurucakap kerajaan Amerika Syarikat ketika pandemik COVID-19, akan bersara Disember ini. Fauci, yang kini berusia 81 tahun, menjadi Ketua Institut Kebangsaan Alergi dan Penyakit Berjangkit sejak 1984 akan bersara selepas lima dekad berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

5. Vaksin COVID-19 | Pfizer tunggu kelulusan FDA

Pengeluar vaksin, Pfizer BioNTech memohon kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) bagi vaksin yang diperbaharui. Versi baharu vaksin ini disasarkan varian Omicron BA4 dan BA5, untuk digunakan bagi umur 12 tahun dan ke atas.

6. Kontroversi | Ujian dadah ke atas PM Finland negatif

Ujian dadah yang dijalankan ke atas sampel urin milik Perdana Menteri Finland, Sanna Marin sah negatif.

7. Kemalangan | Bas terjunam di Peru korbankan empat pelancong

Sebuah bas terjunam dari jalan raya kira-kira 26 kilometer dari Kubu Machu Picchu, Peru mengorbankan empat pelancong. Bas berkenaan terjunam pada Ahad lebih 100 meter di kawasan yang dikenali sebagai Abra Malaga.

8. COVID-19 | New York umum peraturan baru di sekolah

Gabenor New York, Kathy Hochul umum peraturan baru COVID-19 di sekolah. Antara lain, tiada lagi kuarantin dan tiada lagi ujian saringan yang akan dilakukan setiap hari di sekolah.

9. Pemeriksaan DNA pertama dunia bagi cegah risiko kanser, penyakit jantung dilancar

Australia melancarkan pemeriksaan DNA yang pertama di dunia bagi mencegah risiko kanser dan penyakit jantung, menurut Universiti Monash Australia.

10. Thailand akan nilai semula peralihan pascapandemik pada September

Pasukan petugas COVID-19 Thailand akan menilai semula peralihan pasca pandemik bulan depan sebelum memutuskan untuk menarik balik Dekri Darurat.