Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 27 Oktober 2022.

1. Runtuhan | Pekerja binaan maut, struktur jambatan runtuh

Kejadian runtuhan melibatkan sebuah jambatan di Clay County, Missouri, Amerika Syarikat mengorbankan seorang pekerja binaan dan dua individu lain cedera. Menurut laporan penguatkuasa Clay County, kejadian dilaporkan berlaku ketika pekerja binaan sedang sibuk bekerja di salah satu platform konkrit di jambatan bekernaan.

2. Konflik Myanmar | Menteri Luar ASEAN adakan mesyuarat tergempar di Jakarta

Menteri-Menteri Luar Negara ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar di Jakarta bagi membincangkan cara untuk menggerakkan semula proses perdamaian di Myanmar. Mesyuarat yang diadakan di sekretariat ASEAN itu bagaimanapun tidak dihadiri oleh mana-mana wakil dari Myanmar.

3. Agong berkenan lawat Kem Pasir Ris di Singapura

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat Kem Pasir Ris di sini pada hari ketiga lawatan negara Seri Paduka ke Singapura.

4. Serangan di Iran | 13 maut serangan di masjid dikuasai Syiah

Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah masjid di bandar Shiraz, Iran, pada Rabu. Pembunuhan di masjid dikuasai kumpulan Syiah itu ketika jemaah sedang menunaikan solat sekali gus meningkatkan lagi ketegangan di negara yang dilanda protes itu.

5. Perjanjian AS$44 bil | Elon Musk di ibu pejabat Twitter cetus persoalan

Elon Musk pada Rabu menyiarkan video yang menunjukkan dirinya berada di ibu pejabat Twitter menjelang tarikh akhir perjanjian AS$44 bilion untuk membeli syarikat media sosial itu. Video itu seumpama memberi bayangan status positif rundingannya dengan Twitter.

6. Global | Blinken anjur sambutan Deepavali di Jabatan Negara AS

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menganjurkan majlis sambutan Deepavali di Jabatan Negara pada Rabu. Acara itu mengiktiraf kepentingan pentadbiran Presiden Joe Biden untuk bekerjasama dengan komuniti keagamaan seperti masyarakat Hindu, Sikh dan Buddha yang menyambut Deepavali.

7. Korea Selatan tambah dana bantu negara membangun tangani kesan perubahan iklim

Korea Selatan menyokong kuat usaha negara membangun untuk tindak balas terhadap perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

8. Dakwaan bekalkan dron ke Rusia, Iran sedia bincang dengan Ukraine

Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian pada Rabu menyangkal dakwaan yang menyatakan Iran membekalkan dron ke Rusia dan menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak berasas".

9. Enjin pesawat Lion Air terbakar sejurus berlepas

Pesawat Lion Air JT330 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sejurus berlepas akibat kebakaran yang berlaku di bahagian enjin.

10. Pelepasan Karbon | Singapura perkenal peraturan baharu loji kuasa bahan api fosil

Singapura akan memperkenalkan piawaian pelepasan karbon baharu untuk unit penjanaan kuasa bahan api fosil yang akan dikuatkuasakan pada 2023. Pihak berkuasa pasaran tenaga (EMA) akan berunding dengan industri dalam beberapa bulan akan datang dan mengeluarkan butiran mengenai piawaian untuk langkah seterusnya.