Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Januari 30, 2023 15:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 30 Januari 2023.
1. Keterjaminan makanan bidang baharu untuk diteroka bersama Singapura - Anwar
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat bidang keterjaminan makanan sebagai salah satu bidang yang boleh diteroka bersama dengan Singapura, dengan sasaran memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
2. Menteri luar ASEAN bertemu di Jakarta awal bulan depan
Menteri-menteri luar ASEAN dijadual bertemu di sini pada 3 hingga 4 Februari, menurut Sekretariat ASEAN.
3. EU akan tumpu perkukuh kerjasama ekonomi dengan ASEAN - Duta
Mengukuhkan hubungan antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN serta memperdalam hubungan ekonomi dua hala bakal menjadi antara keutamaan kesatuan 27 anggota itu tahun ini, kata Duta EU ke ASEAN Igor Driesmans.
4. Lawatan Anwar ke Bangkok bakal pacu rundingan damai di selatan Thailand
Lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand bulan depan mencetuskan harapan agar beliau dapat membantu mewujudkan keamanan di selatan Thailand, lapor berita tempatan.
5. Auckland mungkin berdepan cuaca lebih buruk - Datuk Bandar
Datuk Bandar Auckland Wayne Brown memberi amaran mengenai cuaca buruk yang "lebih berbahaya" dijangka melanda bandar raya terbesar di New Zealand itu selepas hujan lebat dan banjir meragut empat nyawa sejak Jumaat.
6. 10 kanak-kanak lemas, bot karam di Pakistan
Seramai sepuluh kanak-kanak lemas apabila sebuah bot yang dinaiki karam di sebuah empangan di daerah Kohat wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan.
7. Turkiye tegaskan negara Barat perlu hentikan penghinaan terhadap kitab suci
Negara Barat perlu menghentikan penghinaan terhadap kitab suci, kata Speaker Parlimen Turkiye Mustafa Sentop susulan kejadian membakar al-Quran di Sweden, Denmark dan Belanda minggu lepas.
8. Gempa bumi kuat landa Xinjiang
Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegarkan Kaunti Shaya di Wilayah Aksu di barat laut Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China, pada 7.49 pagi Isnin (waktu Beijing), menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).
9. Percutian Tahun Baharu Cina bawa harapan pemulihan ekonomi dunia
Jumlah pergerakan pelancong dalam negeri di China sepanjang tempoh percutian sempena Tahun Baharu Cina (TBC) mencatatkan sebanyak 308 juta orang sekali gus menjana RMB375.84 bilion (RM235.14 bilion) kepada pendapatan industri pelancongan, menurut statistik terkini yang diumumkan pihak berkuasa China.
#berita antarabangsa #berita luar negara #Berita AWANI #Astro Awani