Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mac 13, 2023 15:39 MYT
Mac 13, 2023 15:39 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 13 Mac 2023.
Seperti yang diramalkan, Tan Sri Michelle Yeoh melakar sejarah paling gemilang dalam kerjaya seninya apabila ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023).
Korea Utara memaklumkan pihaknya telah menguji dua "peluru berpandu jelajah strategik" dari sebuah kapal selam menjelang latihan ketenteraan Amerika Syarikat-Korea Selatan akan datang, lapor Sputnik memetik agensi berita Yonhap.
Sekurang-kurangnya 22 migran maut selepas bot yang dinaiki terbalik di luar pantai Madagascar di Afrika Selatan pada Sabtu, lapor Xinhua.
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud mengumumkan pelancaran syarikat penerbangan nasional baharu, Riyadh Air.
Kejadian kebakaran di tenggara Bangladesh baru-baru ini mempunyai unsur sabotaj hingga menyebabkan beribu-ribu penduduk Rohingya hilang tempat tinggal, menurut siasatan rasmi.
Jepun memperingati ulang tahun ke-12 bencana gempa bumi dan Tsunami di Fukushima bagi menghormati kehilangan nyawa lebih 20,000 orang serta kediaman yang terpaksa ditinggal akibat kesan radiasi.
Beratus-ratus penerbangan di empat lapangan terbang Jerman dibatalkan pada Isnin ekoran kakitangan keselamatan melancarkan mogok sehari.
Kerajaan India menentang pengiktirafan perkahwinan sejenis dan menggesa mahkamah menolak cabaran terhadap rangka kerja undang-undang semasa yang dikemukakan pasangan LGBT.
Kerajaan Jepun membatalkan arahan pemakaian pelitup muka mandatori sebagai langkah akhir untuk melonggarkan protokol kesihatan berkaitan COVID-19.
Satu lagi kejadian tanah runtuh dicetuskan oleh hujan lebat di wilayah Lampung selatan Pulau Sumatera mengorbankan dua nyawa setakat ini.