Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Mac 26, 2023 15:59 MYT
Berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 26 Mac 2023.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 26 Mac 2023.
1. Presiden Joe Biden isytihar darurat di Mississippi, lulus bantuan kecemasan
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengisytihar darurat di Mississippi dan meluluskan dana bagi membiayai bantuan kecemasan di daerah Carroll, Humphreys, Monroe dan Sharkey, kawasan yang paling dahsyat dibadai puting beliung, Jumaat lalu.
2. Ketua pejabat, pegawai dilarang anjur majlis buka puasa sepanjang Ramadan - Presiden Jokowi
Presiden Joko Widodo atau Jokowi memerintahkan ketua dan pegawai jabatan Kerajaan atau Aparatur Sipil Negara (ASN) tidak mengadakan sebarang majlis berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
3. Umrah dibenarkan hanya sekali sahaja pada bulan Ramadan - Kementerian Arab Saudi
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menegaskan para jemaah tidak dibenarkan mengulang menunaikan umrah pada bulan Ramadan dan dibenarkan mengerjakan hanya sekali sahaja.
4. India lancar 36 satelit OneWeb ke orbit - ISRO
Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) pada Ahad melancarkan roket LVM3 yang membawa 36 satelit komunikasi OneWeb.
5. 200 cedera dalam protes bantah pembinaan empangan di Perancis
Sekurang-kurangnya 200 orang cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan penguatkuasa undang-undang di Perancis Sainte-Soline, lapor Sputnik memetik BFMTV.
6. China lepaskan 200,000 ikan jarang ditemukan di Sungai Yangtze
China akan melepaskan 200,000 sturgeon China ke Sungai Yangtze, sungai terpanjang di negara itu mulai Sabtu sebagai sebahagian daripada usahanya untuk melindungi ikan yang jarang ditemui itu.
7. Bazar Ramadan Kampong Gelam kembali di Singapura, sambut kemeriahan Ramadan
Kampong Gelam di Singapura kembali 'hidup' dengan deretan trak makanan berwarna-warni, gerai jualan tempatan dan antarabangsa, program hiburan serta banyak lagi aktiviti menarik.
8. Lima terbunuh, enam masih hilang dalam letupan kilang coklat
Angka kematian akibat letupan dan kebakaran di kilang coklat R.M. Palmer Company di West Reading Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat meningkat kepada lima, kata pihak berkuasa pada Sabtu.
9. Turkiye kutuk tindakan cemar al-Quran, bendera di Denmark
Kementerian Luar Turkiye pada Sabtu mengecam "serangan keji" sekumpulan orang pada Jumaat yang mencemarkan kitab suci Al-Quran dan bendera Turkiye di Denmark.
10. Honduras putuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan
Honduras telah memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Taiwan, menurut Kementerian Dalam Negeri.
#berita pilihan #berita antarabangsa #berita luar negara #Berita AWANI