Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
April 14, 2024 15:50 MYT
April 14, 2024 15:50 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 14 April 2024.
Singapore Airlines (SIA) dan syarikat penerbangan subsidari kos rendahnya, Scoot telah menghentikan penerbangan di ruang udara Iran selepas Iran melancarkan serangan langsung ke atas wilayah Israel buat kali pertama pada Sabtu, menurut laporan media tempatan.
Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral, Mohammad Baqeri mengesahkan Iran telah menamatkan serangan balas di bawah Operasi Janji Benar ke atas wilayah Israel.
Serangan semalaman Iran yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel telah 'digagalkan' kata tentera Israel pada Ahad ketika ratusan peluru berpandu dan dron berjaya dipintas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
Letupan kedengaran di beberapa kawasan di Israel awal Ahad apabila pertahanan udara memintas dron dan misil dari Iran, menurut laporan media.
Iran melancarkan lebih 200 dron, peluru berpandu balistik ke Israel dan serangan itu dikatakan masih 'berterusan'.
Ribuan rakyat Iran turun ke jalanan di Iran pada awal pagi Ahad sebagai tanda sokongan terhadap serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel.
Barisan panjang terbentuk di kebanyakan stesen minyak di Tehran apabila rakyat Iran bergegas mengisi minyak kenderaan mereka.
Tentera udara Jordan memintas dan menembak jatuh berpuluh-puluh dron Iran yang melanggar ruang udaranya dan sedang menuju ke Israel.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhasrat untuk mengadakan mesyuarat pada Ahad.
Duta Besar Israel ke PBB, Gilad Erdan menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Malta, yang kini mengetuai Majlis Keselamatan PBB, meminta badan tertinggi itu mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan dengan segera untuk mengutuk serangan Iran.