INTERNATIONAL
Berkorban tanpa gaji demi pendidikan anak-anak pelarian Syria

Sekolah berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memulihkan kembali semangat dan keyakinan kanak-kanak pelarian Syria daripada trauma peperangan yang mencapai usia sedekad lamanya. -Astro AWANI/Afiezy Azaman
GAZIANTEP: Setelah empat tahun ditubuhkan untuk membantu kanak-kanak pelarian Syria mendapat akses pelajaran tidak formal, Maahad Anuar masih tidak mampu membayar gaji guru-guru yang mengajar di sekolah berkenaan.
Malah, guru-guru yang bertugas di sekolah itu menjadi sukarelawan dengan harapan agar kanak-kanak pelarian Syria mempunyai asas pengetahuan terutamanya dalam ilmu agama.
Hasil tinjauan Astro AWANI mendapati sekolah berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif memulihkan kembali semangat dan keyakinan kanak-kanak pelarian Syria daripada trauma peperangan yang mencapai usia sedekad lamanya.

"Terdapat 16 guru yang mana enam daripada mereka merupakan ibu tunggal yang kehilangan suami akibat daripada konflik yang berlaku.

"Bagi peringkat umur pelajar pula, antara tiga hingga belasan tahun diterima untuk belajar di sekolah ini," katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.

Namun untuk beroperasi setiap bulan, ia memerlukan kos yang sangat tinggi bagi menampung keperluan harian seperti buku, makanan, kertas dan aktiviti harian pelajarnya.
Ada di antara pelajar yang telah tamat pelajaran turut menjadi sukarelawan di sekolah tersebut.
Maahad Anuar hanya menerima bantuan melalui sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) sekitar Turki dan Syria untuk kelangsungan operasinya setakat ini.

Justeru, dia merayu sumbangan orang ramai untuk menyalurkan bantuan agar akses pendidikan kepada kanak-kanak pelarian Syria dapat diteruskan.
Layari pautan ini untuk bantu meringankan beban mereka: https://infaksyria.com/donations/musim-sejuk/
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami