LOS ANGELES: Berpuluh juta rakyat Amerika akan terjejas ekoran beberapa bandarnya dijangka mengalami cuaca panas melampau pada hujung minggu akan datang.

"Gelombang haba" dijangka melanda sebahagian besar Pantai Barat, dan Barat Daya pada hujung minggu ini, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) AS, lapor Xinhua.

Sebahagian besar kawasan selatan-tengah dan barat Amerika Syarikat telah dilanda gelombang haba sejak beberapa hari dan minggu kebelakangan ini.

Pada Sabtu dan Ahad, terdapat 45 ramalan suhu tertinggi di California, Nevada, Arizona, Texas, Florida, Oregon dan Idaho, menurut NWS.

Suhu mampu mencapai sekitar 130 darjah Fahrenheit (54.4 darjah Celsius) pada Jumaat di bahagian Arizona dan Nevada.

Las Vegas dijangka mencatat suhu sekitar 118 darjah Fahrenheit (47.8 darjah Celsius). Ia akan memecahkan rekod sebelumnya iaitu 117 darjah Fahrenheit (47.2 darjah Celsius).

Lebih 61 juta rakyat Amerika berada di bawah amaran haba pada Jumaat, menurut perkhidmatan cuaca.



--BERNAMA -XINHUA