Bersatu menentang pengaruh asing, pesanan Ali Khamenei kepada golongan muda

Khamenei berkata, golongan perusuh sanggup merosakkan harta benda awam dan bangunan milik negara semata-mata untuk memenuhi kepentingan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Reuters.
TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan Republik Islam itu tidak akan tunduk kepada tindakan ganas kumpulan perusuh yang didakwa bertindak di bawah pengaruh kuasa asing, lapor Reuters.
Menurut Khamenei, golongan terbabit sanggup merosakkan harta benda awam dan bangunan milik negara semata-mata untuk memenuhi kepentingan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Republik Islam diasaskan dengan darah ratusan ribu insan terhormat dan ia tidak akan berundur dari berdepan dengan mereka yang melakukan kemusnahan.
“Kami juga tidak akan bertolak ansur dengan anasir upahan yang berkhidmat kepada kuasa asing,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan penyokong di Tehran, hari ini.
Dalam ucapan sama, Khamenei menggesa golongan muda supaya bersatu padu dan kekal berwaspada terhadap intimidasi kuasa luar yang bertujuan memecah-belahkan Republik Islam Iran.
“Wahai golongan muda, peliharalah agama kamu, kesedaran politik, kehadiran dan kesiapsiagaan kamu serta kesungguhan untuk memastikan kemajuan negara terus terpelihara. Lindungi perpaduan kerana bangsa yang bersatu mampu mengatasi musuh,” katanya.
Media tempatan melaporkan beberapa pertubuhan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO) serta golongan peniaga mengadakan protes susulan kejatuhan nilai mata wang Iran, yang dikaitkan dengan sekatan ekonomi Amerika Syarikat dan sokongan negara-negara Barat.
Bagaimanapun, Khamenei sebelum ini menegaskan keluhan golongan peniaga berhubung tekanan ekonomi wajar diberi perhatian dan ditangani oleh kerajaan.
Pada masa sama, Putera Reza Pahlavi, anak kepada Shah Mohammad Reza Pahlavi yang digulingkan dalam Revolusi Iran 1979 dan kini menetap di Washington, D.C., turut menggesa rakyat Iran turun ke jalan raya bagi menumbangkan kerajaan Republik Islam.
Shah Mohammad Reza Pahlavi sebelum ini dikenali dengan pemerintahan autoritarian pada era 1970-an melalui polis rahsia SAVAK yang menindas pembangkang, selain membenarkan campur tangan Amerika Syarikat dalam urusan ekonomi Iran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


