WASHINGTON DC: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bakal mengumumkan sumbangan AS$2 bilion (kira-kira RM8.1 bilion) untuk inisiatif vaksin koronavirus global ketika berucap di hadapan pemimpin ekonomi pasaran terkemuka dunia G7 pada Jumaat.

Menurut pegawai kanan pentadbiran, ia bagi meningkatkan usaha membekalkan vaksin ke negara berpendapatan rendah dan sederhana apabila negara-negara kaya didakwa memonopoli bekalan.

Pengumuman itu, yang akan dibuat Biden secara maya dengan pemimpin G7, akan memberikan kelebihan kepada inisiatif Akses Global Vaksin COVID-19 (Covax) yang dipimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini adalah sumbangan pertama AS untuk skim itu yang mendapat tentangan bekas presiden Donald Trump.

Biden juga dijangka mengumumkan dana tambahan AS$2 bilion bergantung kepada sumbangan dari negara lain dan sasaran penghantaran dos dicapai.

Dana itu telah mendapat kelulusan kongres.

Semua berita COVID-19