WHITE House meluluskan deklarasi bencana bagi negeri Illinois dan Tennessee sebagai tambahan kepada deklarasi sebelum ini.

Presiden Joe Biden sebelum ini meluluskan deklarasi untuk Kentucky susulan puting beliung terburuk minggu lalu.

Antara lain, deklarasi berkenaan menyediakan bantuan persekutuan bagi operasi mencari, menyelamat dan pembersihan, serta bantuan perumahan sementara, bantuan individu dan perniagaan.

Pada satu sidang media, Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki berkata, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) juga telah menghantar berpuluh-puluh penjana ke Kentucky.

Turut dihantar, 135,000 gelen liter air, 74,000 makanan dan katil bayi, selimut, kit bayi dan kit perlindungan pandemik bagi membantu mangsa yang terjejas.

"Presiden meluluskan deklarasi bencana kecemasan untuk Illinois dan Tennessee sebagai tambahan kepada deklarasi bencana utama yang diluluskannya untuk Kentucky bagi menyokong usaha pemulihan.

"FEMA mempunyai pasukan mencari dan menyelamat bandar serta kakitangan tindak balas kecemasan di Kentucky, menyokong usaha mencari dan menyelamat, bersama-sama dengan pasukan bantuan mangsa bencana untuk membantu mangsa yang terselamat mendaftar untuk mendapatkan bantuan.

"FEMA telah menghantar berpuluh-puluh penjana ke Kentucky, bersama-sama dengan 135,000 liter air, 74,000 makanan dan beribu-ribu katil bayi, selimut, kit bayi dan kit perlindungan pandemik untuk menyokong penduduk Kentucky.

"Kakitangan Jurutera Tentera Amerika akan melakukan penilaian infrastruktur penyingkiran serpihan dan sokongan pemulihan kuasa dan kakitangan sokongan tindak balas kecemasan mudah alih berada di lapangan di Kentucky untuk menyediakan keupayaan komunikasi kecemasan yang diperlukan," katanya di Washington DC pada Isnin.

Biden merancang untuk melawat Kentucky pada Rabu bagi meninjau kerosakan dan menawarkan sokongan persekutuan untuk mangsa.