WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat meluluskan pelan infrastruktur bernilai AS$1 trilion.

Presiden Joe Biden menyifatkan keputusan yang dicapai sebagai luar biasa di antara parti Demokrat dan Republikan.

Jelasnya, ini membuktikan bahawa dewan itu masih lagi berpegang teguh kepada sistem demokrasi dengan undian berjaya dicapai 69-30.

Kelulusan ini bermakna momentum fasa pertama yang direncana pentadbiran Biden "build back better" akan mendominasi White House.

"Dana ini akan membantu pemulihan dalam jangka masa panjang. Apa yang penting, dana infrastruktur bersejarah ini adalah apa yang rakyat Amerika mahukan.

"Ini adalah apa yang anda mahu sejak sekian lama. Dana ini membuktikan kita boleh bekerjasama. Saya tahu ramai di luar sana tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku.

"Dana ini sebelum ini disifatkan sebagai tiada jalan penyelesaian. Sistem bipartisan adalah perkara lalu.

"Sejak dari hari saya mengumumkan pencalonan diri, ia adalah untuk memastikan sifat kebersamaan dan melakukannya dalam cara bipartisan.

"Ia adalah kriteria sejak dari awal. Jika anda masih percaya, saya tidak pernah mempercayainya, saya masih tidak mempercayainya," kata Biden.

Antara lain, pelan infrastruktur ini akan memberikan hampir AS$550 bilion perbelanjaan baharu selama lima tahun untuk jalan raya, jambatan, internet jalur lebar, paip air, dan sistem kerja awam yang lain.

Ia juga dijangka menjadi landasan pertarungan terhadap pelan rangsangan yang lebih besar yang bernilai AS$3.5 trilion yang akan dibentang di Dewan Senat.

Pelan AS$3.5 trillion ini dilapor merangkumi dana untuk penjagaan kanak-kanak dan warga emas, serta beberapa usaha lain yang lebih liberal dan diharapkan hanya akan mendapat sokongan parti Demokrat.