KUALA LUMPUR: Pelantikan Mohamed Ismi Abdul Majid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad (FELCRA) yang baharu diharap dapat meneruskan agenda pengukuhan keupayaan organisasi itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook berkata Mohamed Ismi mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan organisasi serta perakaunan dan kewangan untuk dimanfaatkan oleh FELCRA.
Advertisement
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha itu penting, khususnya dalam memastikan kesejahteraan peserta Felcra terus diberi perhatian, selain memperkasa pembangunan luar bandar secara mampan.
“Dengan komitmen seluruh warga FELCRA serta kerjasama semua pihak, saya yakin organisasi ini akan terus bergerak lebih progresif dan kekal menjadi institusi yang membawa manfaat besar kepada warga peserta serta pembangunan luar bandar negara,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Mohamed Ismi.
Mohamed Ismi menggantikan Datuk Idris Lasim yang telah bersara pada awal Disember lepas setelah lebih tiga dekad perkhidmatan cemerlangnya bersama FELCRA.
-- BERNAMA