KUALA LUMPUR: Satu kajian kesihatan asas dijalankan Kementerian Kesihatan Indonesia pada tahun 2018, seramai 12 juta penduduk yang berumur lebih 15 tahun dilaporkan mengalami masalah kemurungan pada tahap berbeza.

Memetik laporan Channel NewsAsia, kajian itu juga menunjukkan bahawa kurang daripada tiga peratus daripada jumlah tersebut mencari bantuan profesional daripada ahli psikologi dan pakar psikiatri.

Dalam pada itu, sebuah kajian sama sedang dijalankan di seluruh negara pada tahun ini, dan hasilnya akan didedahkan pada tahun 2024.

Antara Januari dan Julai tahun ini, pihak berkuasa Indonesia mencatatkan sekurang-kurangnya 640 kes bunuh diri, peningkatan sebanyak 31 peratus daripada tempoh yang sama pada tahun 2022.

Beberapa pakar percaya bahawa angka itu hanya sebahagian kecil daripada masalah sebenar, dengan banyak kematian akibat bunuh diri yang tidak direkodkan.

Namun begitu, kemajuan teknologi berjaya memecahkan stigma masalah segan menyuarakan kesihatan mental, apabila pesakit kini mula mendapatkan khidmat nasihat daripada ahli psikologi dengan lebih selesa termasuk di kediaman sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Riliv, Herli memaklumkan, sebahagian besar penduduk Indonesia tidak terdedah dengan dunia psikologi.

“Ramai yang berminat tetapi mereka malu, enggan, takut untuk dihakimi sekiranya mereka pergi berjumpa pakar psikologi,” katanya.

Sementara itu, ahli psikologi, Siti Jessika yang berpengalaman merawat pesakit secara fizikal dan dalam talian selama tiga tahun terakhir ini memberitahu kehadiran platform menyediakan perkhidmatan psikologi klinikal juga memberi manfaat kepada ahli psikologi dengan membolehkan mereka memperluaskan perkhidmatan.

“Saya menerima pesakit dari tempat yang berbeza seperti Papua, di mana akses kepada ahli psikologi praktikalnya tidak ada.

"Saya juga pernah berjumpa seorang warga Indonesia yang tinggal di Vietnam kerana di negara itu, hanya ahli psikologi bertutur dalam bahasa Vietnam tersedia.

"Harga juga antara faktor lain yang menjadikan platform kesihatan mental semakin popular, terutama dalam kalangan pelajar kolej dan mereka yang baru memulakan kerjaya. Rundingan secara bersemuka bermula dari harga 700,000 rupiah (RM210.96) untuk satu jam di Indonesia,” katanya.