Putera Andrew hilang semua gelaran - Penamat kejatuhan seorang kerabat diraja Britain

Raja Charles III telah memulakan proses rasmi untuk melucutkan gelaran dan kehormatan diraja adindanya, Putera Andrew (gambar), susulan kontroversi berterusan yang mengaitkan beliau dengan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein. - Gambar fail Reuters
LONDON: Kejatuhan Putera Andrew, anak kepada mendiang Ratu Elizabeth II, kini dianggap lengkap selepas Raja Charles III bertindak melucutkan semua gelaran diraja yang pernah disandang adindanya itu pada Khamis.
Langkah drastik itu disambut baik oleh keluarga Virginia Giuffre – wanita yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh Putera Andrew – yang menyifatkan keputusan Raja Charles sebagai satu kemenangan.
“Seorang gadis biasa dari Amerika berjaya menjatuhkan seorang putera Britain dengan keberanian dan kebenarannya,” kata keluarga Giuffre dalam satu kenyataan.
Skandal Epstein dan hubungan mencurigakan
Putera Andrew mula mengenali Jeffrey Epstein – seorang pesalah seks yang disabitkan kesalahan di Amerika Syarikat – sekitar tahun 1999 melalui teman wanitanya ketika itu, Ghislaine Maxwell.
Walaupun Epstein dijatuhkan hukuman penjara pada 2008 kerana eksploitasi seksual terhadap remaja bawah umur, Putera Andrew masih dilihat bersama Epstein di Central Park, New York pada 2010.
Putera Andrew mendakwa, itu merupakan pertemuan terakhir mereka, namun dokumen mahkamah mendedahkan satu e-mel dipercayai daripadanya kepada Epstein pada 2011 berbunyi: “Kekal berhubung dan kita akan berseronok lagi !!!!”.
Epstein meninggal dunia dalam penjara pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks.
Tuduhan dan penyelesaian luar mahkamah
Pada Ogos 2021, Giuffre memfailkan saman sivil terhadap Putera Andrew, mendakwa dia dipaksa melakukan hubungan seks sebanyak tiga kali ketika berusia 17 tahun – termasuk di rumah Maxwell di London, kediaman Epstein di New York dan pulau peribadi Epstein.
Dalam memoirnya yang diterbitkan awal Oktober ini, Giuffre menceritakan bagaimana Putera Andrew meneka usianya dengan tepat dan berkata: “Anak-anak saya hanya sedikit lebih muda daripada kamu.”
Kes itu diselesaikan di luar mahkamah pada Februari 2022, dengan Putera Andrew bersetuju membayar pampasan yang dilaporkan melebihi 9 juta pound (AS$12 juta), tanpa mengakui sebarang liabiliti.
Gelaran diraja dilucutkan satu demi satu
Putera Andrew mula berundur daripada tugas rasmi pada 2019 selepas temu bual BBC yang dianggap gagal membersihkan namanya.
Pewaris takhta diraja Britain di kedudukan kelapan itu turut menafikan mengenali Giuffre dan berkata tidak mengingati sebarang pertemuan.
Pada Januari 2022, Ratu Elizabeth II melucutkan semua gelaran tentera dan semua pertubuhan yang dinaungi Putera Andrew.
Pada 17 Oktober lalu, Putera Andrew bersetuju untuk tidak lagi menggunakan gelaran Duke of York.
Kini, Raja Charles III mengambil langkah terakhir dengan melucutkan semua gelaran diraja Putera Andrew dan mengarahkan beliau keluar dari Royal Lodge di Windsor – kediaman yang didudukinya selama dua dekad dengan bayaran sewa simbolik.
Bekas isterinya, Sarah Ferguson, yang pernah meminjam wang daripada Epstein juga tidak lagi dikenali sebagai Duchess of York.
Giuffre meninggal dunia pada April lalu di Australia, pada usia 41 tahun, meninggalkan suami dan tiga anak. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


