DUNIA
Bill Gates akan salur sebahagian besar kekayaan AS$200 bilion ke Afrika

Gate yang berusia 69 tahun berkata, “dengan membangunkan potensi manusia melalui kesihatan dan pendidikan, setiap negara di Afrika boleh menuju ke arah kemakmuran.” - Gambar fail Reuters
ADDIS ABABA: Pengasas Microsoft, Bill Gates, mengumumkan, sebahagian besar daripada kekayaannya yang dianggarkan mencecah AS$200 bilion akan disalurkan untuk memperbaiki sistem kesihatan dan pendidikan di Afrika dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Tokoh teknologi berusia 69 tahun itu berkata, “dengan membangunkan potensi manusia melalui kesihatan dan pendidikan, setiap negara di Afrika boleh menuju ke arah kemakmuran.”
Berucap di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa, Gates turut menggesa para inovator muda Afrika agar memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mempertingkat sistem penjagaan kesihatan di benua itu.
Bulan lalu, Gates mengumumkan hasratnya untuk menyumbangkan 99 peratus kekayaan beliau menjelang tahun 2045, tahun yang sama operasi yayasan beliau dirancang untuk dihentikan sepenuhnya.“Saya telah berikrar bahawa kekayaan saya akan disumbangkan sepenuhnya dalam tempoh 20 tahun ini. Majoriti dana itu akan disalurkan bagi membantu anda menangani cabaran di Afrika,” katanya di ibu pejabat Kesatuan Afrika (AU).
Bekas Wanita Pertama Mozambique, Graça Machel, menyambut baik pengumuman itu yang disifatkan hadir pada waktu yang sangat mencabar.
“Kami mengharapkan komitmen teguh Gates untuk terus bersama kami dalam usaha transformasi ini,” ujarnya.
Langkah Gates hadir ketika bantuan dari Amerika Syarikat ke Afrika, termasuk program rawatan HIV/AIDS, semakin berkurangan susulan dasar "America First" oleh Presiden Donald Trump, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan sistem kesihatan di rantau tersebut.
Gates berkata, Yayasan Gates akan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan asas, termasuk penjagaan kesihatan ibu dan pemakanan awal kanak-kanak.
“Apa yang kami pelajari ialah membantu ibu untuk kekal sihat dan mendapat pemakanan baik sebelum dan semasa mengandung memberikan kesan paling besar,” katanya.
“Menjamin pemakanan baik kepada anak dalam empat tahun pertama juga sangat penting.”
Gates turut menyatakan bahawa teknologi mudah alih telah merevolusikan sektor perbankan di Afrika dan kini AI berpotensi untuk memajukan sistem kesihatan.
“Afrika telah melangkau sistem perbankan tradisional, dan kini ada peluang untuk bina sistem kesihatan generasi baharu dengan AI sebagai sebahagian terasnya,” jelas beliau.
Sebagai contoh, beliau memuji Rwanda yang kini menggunakan AI dalam imbasan ultrasound untuk mengesan kehamilan berisiko tinggi.
Yayasan Gates menetapkan tiga keutamaan utama iaitu:
1) Mengurangkan kematian ibu dan bayi yang boleh dicegah,
2) Melindungi generasi baharu daripada penyakit berjangkit yang membawa maut,
3) Membantu jutaan orang keluar dari kemiskinan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, yayasan tersebut turut mengesahkan ia akan ditamatkan pada akhir tempoh 20 tahun itu.
Dalam catatan blog peribadi bulan lalu, Gates berkata: “Orang mungkin akan berkata pelbagai perkara tentang saya selepas saya meninggal dunia, tapi saya tekad agar 'dia mati dalam kekayaan' bukan salah satu daripadanya.”
Menurut Bloomberg, walaupun menyumbangkan hampir semua kekayaannya, Gates masih dijangka kekal sebagai bilionair dan berada dalam kelompok terkaya dunia.
Bill Gates mengasaskan Microsoft bersama mendiang Paul Allen pada tahun 1975 dan syarikat itu berkembang menjadi gergasi teknologi dunia.
Beliau berundur daripada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2000 dan meletak jawatan sebagai Pengerusi pada 2014.
Gates berkata, beliau memperoleh inspirasi untuk menjadi berkongsi rezeki daripada usahawan terkenal globa, Warren Buffett dan tokoh-tokoh dermawan lain.
Bagaimanapun, kritikan turut dilemparkan ke atas Yayasan Gates yang didakwa menggunakan status amal untuk mengelak cukai dan mempunyai pengaruh berlebihan terhadap dasar kesihatan global. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami