JEDDAH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken bertemu dengan Menteri Luar Arab Saudi di Jeddah, pada Rabu.

Ia sebahagian daripada misi mendesak keenam Blinken ke Asia Barat sejak perang Israel dengan Hamas bermula pada Oktober.

Diplomat tertinggi AS itu juga mengadakan perbincangan dengan pemimpin de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohamed Bin Salman, sebelum beliau meneruskan perjalanan ke Mesir pada Khamis.

Blinken akan berada di Tel Aviv pada Jumaat selepas perbincangan dengan pemimpin Arab dan Menteri Luar di Jeddah dan Kaherah tertumpu kepada perang di Gaza.

Dalam perbincangannya di Jeddah, Kaherah dan Tel Aviv, Blinken dijangka memberi tumpuan kepada percubaan untuk merundingkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Ini termasuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui darat, udara dan laut serta merancang masa depan pasca konflik wilayah itu.

Israel melancarkan serangannya di Gaza dengan lebih daripada 32,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam pengeboman dan serangan sejak 7 Oktober.

Sebahagian besar utara Gaza menjadi kawasan lapang dan pihak berkuasa antarabangsa memberi amaran bahawa 70 peratus penduduk di sana mengalami kelaparan yang teruk dan kebuluran.