Sebutir bom meletup di luar Kedutaan Maghribi di ibu negara Libya pada Isnin beberapa jam selepas serangan bersenjata ke atas bangunan yang menempatkan delegasi Korea Selatan ke negara itu.

Bom yang didakwa diletakkan di dalam sebuah beg itu meletup berdekatan Kedutaan namun tiada kematian dilaporkan, menurut seorang pegawai.

Walau bagaimanapun, beberapa kereta di kawasan tersebut mengalami kerosakan akibat kejadian.

“Bunyi letupan sangat kuat and bangunan itu bergetar beberapa saat,” kata seorang saksi yang tidak ingin dinamakan.

Kedutaan Maghribi tidak beroperasi ketika itu dan tidak dapat dipastikan jika ada orang di dalam bangunan itu.

Maghribi sedang menganjurkan satu dialog di antara dua wakil kerajaan negara itu yang berbalah.

Sesi dialog dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu akan bersambung pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.