Bomba bergelut padam kebakaran tahap kecemasan ketika gelombang haba landa Australia

Anggota bomba Country Fire Authority (CFA) menjalankan operasi penutupan api susulan kebakaran hutan berhampiran Alexandra, Victoria, Australia. - Foto REUTERS
MELBOURNE: Gelombang haba melampau yang melanda tenggara Australia mencetuskan keadaan kecemasan di negeri Victoria apabila sekurang-kurangnya enam kebakaran besar sedang marak, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman oleh pihak bomba.
Menurut laporan media tempatan, dua daripada kebakaran tersebut diklasifikasikan pada tahap kecemasan tertinggi.
Susulan itu, amaran kecemasan telah dikeluarkan kepada beberapa komuniti, dengan penduduk di kawasan terjejas diarahkan mengambil tindakan keselamatan mengikut tahap ancaman masing-masing.
Pihak berkuasa bomba memberi amaran keadaan di lapangan berubah dengan pantas berikutan cuaca yang amat panas, kering dan berangin, serta menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dan makluman terkini.
Biro Meteorologi Australia memaklumkan beberapa kawasan di Victoria mencatat suhu tertinggi sepanjang sejarah, termasuk satu lokasi yang merekodkan suhu sehingga 48.9 darjah Celsius. Melbourne pula merekodkan suhu maksimum 41 darjah Celsius.
Ketua Pegawai Bomba Forest Fire Management Victoria, Chris Hardman, berkata keadaan cuaca melampau itu menjadikan operasi pemadaman kebakaran amat mencabar dan meningkatkan risiko api merebak dengan cepat.
Dua kebakaran utama yang mencetuskan kebimbangan kini berlaku di Camperdown dan Otways, manakala sebuah lagi kebakaran baharu dilaporkan di kawasan Larralea.
Ketua Pegawai Country Fire Authority (CFA), Jason Hefferman, berkata kebakaran di Otways berpotensi menghasilkan bara api yang dibawa angin, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran baharu tercetus di kawasan sekitarnya.
Setakat ini, tahap kerosakan sebenar masih belum dapat dipastikan.
Namun, Timbalan Pengawal Insiden Australia, Alistair Drayton, memaklumkan terdapat maklumat awal yang menunjukkan beberapa kediaman mungkin telah musnah.
Beliau turut memuji usaha gigih anggota bomba yang berada di barisan hadapan.
Selain Victoria, negeri Australia Selatan turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan risiko kebakaran pada tahap melampau, manakala larangan pembakaran sepenuhnya telah dikuatkuasakan di Victoria.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa kesihatan memberi amaran gelombang haba berpanjangan membawa risiko serius kepada kesihatan awam.
Ketua Pegawai Kesihatan Victoria, Caroline McElnay, berkata golongan warga emas, kanak-kanak serta individu yang mempunyai penyakit sedia ada adalah paling berisiko.
Menurut beliau, cuaca panas melampau boleh menyebabkan keletihan haba dan strok haba yang berpotensi membawa maut, selain mencetuskan komplikasi kesihatan serius seperti serangan jantung dan strok.
Pakar sains iklim menegaskan perubahan iklim akibat aktiviti manusia menjadikan gelombang haba lebih kerap dan lebih ekstrem.
Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) melaporkan rantau Australasia menyaksikan peningkatan ketara kejadian haba melampau sejak beberapa dekad kebelakangan ini.
Australia tenggara sebelum ini turut mengalami suhu ekstrem pada awal Januari lalu, dengan kajian pantas oleh kumpulan World Weather Attribution menganggarkan kejadian suhu tinggi dalam tempoh tersebut kini sekurang-kurangnya lima kali lebih berkemungkinan berlaku akibat perubahan iklim.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

