Skip to main content

Politik

[ANALISIS] PRN Johor: Hadi, Zahid, dan Anwar - tiga mesej, satu pilihan raya

Hadi Awang, Zahid Hamidi, dan Anwar Ibrahim -- BERNAMA
Apa yang bermula sebagai pilihan raya negeri kini semakin menyerupai ujian awal kepada bagaimana kuasa politik Melayu akan disusun semula dalam tahun-tahun mendatang. - Gambar fail
Advertisement

JOHOR BAHRU: Pada 24 Jun lalu, persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedang menyaksikan pembentukan penjajaran politik di luar struktur rasmi parti dan gabungan politik. 

BACA: [ANALISIS] PRN Johor: Adakah penjajaran politik sebenar sedang terbentuk di luar struktur rasmi? 

Kehadiran beberapa individu yang dikaitkan dengan Parti Wawasan Negara di Pejabat Perhubungan UMNO Johor serta petunjuk mengenai usaha mengurangkan pertembungan sesama parti Melayu ketika itu dilihat sebagai isyarat awal bahawa sesuatu sedang bergerak di sebalik tabir. 

Dua minggu kemudian, perbincangan itu tidak lagi bersifat teoritikal.

Sebaliknya, ia mula disebut secara terbuka oleh pemain-pemain utama yang sedang menentukan hala tuju politik Johor dan mungkin juga politik nasional selepas ini.

Apa yang sedang berlaku dalam tempoh akhir kempen PRN Johor bukan sekadar persaingan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Lebih penting daripada itu, ia memperlihatkan bagaimana setiap blok politik mula menghantar mesej tentang kemungkinan yang mereka sanggup terima selepas keputusan diumumkan.

Hadi Awang Mengubah Seluruh Perbincangan Pilihan Raya

Perkembangan yang paling mengejutkan datang daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketika ramai menjangkakan Pas akan memberi tumpuan kepada usaha memenangkan calon-calon parti itu, Hadi memilih untuk bercakap tentang apa yang berlaku selepas hari pengundian.

Lebih menarik, beliau bukan sekadar bercakap mengenai Pas atau PN. Beliau bercakap mengenai UMNO.

Dalam satu kenyataan yang mengubah seluruh landskap perbincangan politik Johor, Abdul Hadi berkata - "Kalau UMNO menang, UMNO jadi Menteri Besar. Suka hati UMNO nak lantik Exco orang dia atau siapa. Kalau sekiranya ada kelemahan, Pas boleh tampung kelemahan itu bergantung kepada kerusi yang kita menang." 

Beliau turut menegaskan bahawa Pas tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar atau Exco negeri.

Malah beliau menyatakan bahawa jika BN mahukan majoriti dua pertiga dan Pas mempunyai kerusi yang mencukupi, Pas sanggup membantu. 

Ini bukan kenyataan biasa dalam tempoh kempen pilihan raya, tetapi jelas merupakan isyarat politik yang sangat besar.

Buat pertama kali sejak perpecahan Muafakat Nasional dan pembentukan PN, seorang Presiden Pas secara terbuka menawarkan sokongan kepada UMNO untuk membentuk kerajaan negeri.

Persoalannya kini bukan sama ada Pas boleh membantu BN.

Persoalannya ialah mengapa Pas  merasakan perlu menghantar mesej itu kepada umum.

Zahid Tidak Menolak Pintu Yang Dibuka Pas

Lebih menarik ialah reaksi Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Hadi, Zahid tidak menolaknya, sebaliknya memberikan jawapan yang ringkas tetapi sarat makna politik.

"Baguslah, baguslah, insya-Allah” – sahutnya ringkas. Dan dalam politik, apa yang tidak disebut kadangkala lebih penting daripada apa yang disebut.

Zahid mempunyai ruang untuk menolak terus tawaran itu, dan beliau juga boleh menegaskan bahawa BN tidak memerlukan Pas. Namun beliau memilih pendekatan yang jauh lebih terbuka.

Pada masa yang sama, Zahid terus membawa naratif bahawa kemenangan di Johor akan menjadi titik tolak kebangkitan semula BN di peringkat nasional. Beliau menyifatkan Johor sebagai penanda aras kepada pilihan raya negeri seterusnya dan akhirnya Pilihan Raya Umum akan datang.

Dan dalam siri ceramah dan penerangannya dalam tempoh dua minggu ini, Ahmad Zahid kekal kepada naratif bahawa beliau akan memastikan Kerajaan Negeri terjamin di bawah Kerajaan Persekutuan.

Di sinilah letaknya kepentingan sebenar Johor kepada Ahmad Zahid.

Sekiranya BN menang besar, beliau boleh berhujah bahawa kewujudan Bersatu tidak melemahkan pengaruh UMNO  dan parti itu masih mampu berdiri sendiri sebagai parti dominan Melayu.

Anwar Bertarung Untuk Menggerakkan Penyokongnya

Jika Ahmad Zahid sedang bercakap mengenai kemenangan dan penguasaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memberi tumpuan kepada satu perkara yang berbeza, iaitu keluar mengundi.

Sepanjang fasa akhir kempen, Perdana Menteri dilihat turun secara agresif ke beberapa lokasi utama bagi menggerakkan pengundi PH, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar. 

Perhatian beliau banyak tertumpu kepada peratusan keluar mengundi kerana itulah faktor yang boleh menentukan sama ada PH mampu memperbaiki pencapaian lalu atau sebaliknya.

Hakikatnya, cabaran Anwar di Johor lebih rumit berbanding lawan-lawannya.

PH dan BN berkongsi kuasa di Putrajaya, tetapi bertembung secara langsung di Johor. Maka tugas utama beliau bukan sekadar memenangi kerusi.

Beliau perlu memastikan penyokong PH terus melihat parti itu sebagai pilihan politik yang mempunyai identiti tersendiri.

Dalam banyak keadaan, kempen PH kali ini lebih menyerupai usaha mempertahankan tapak sokongan tradisi daripada percubaan menawan kerajaan negeri.

Muhyiddin Yang Tidak Lagi Bercakap Mengenai Kemenangan

Jika ada satu perubahan yang paling ketara dalam kempen kali ini, ia mungkin datang daripada nada yang digunakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Johor ialah negeri asal Muhyiddin, dan beliau sendiri pernah mengetuai pentadbiran negeri selama lapan tahun bermula pada tahun 1986.

Namun dalam ceramah di Parit Raja, beliau mengakui sesuatu yang jarang didengar daripada seorang pemimpin politik ketika pilihan raya sedang berlangsung.

"Perikatan Nasional mungkin tidak mampu membentuk kerajaan negeri." 

Sebaliknya beliau menggesa pengundi memberi sokongan kepada PN supaya gabungan itu mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri

Daripada sudut politik, ini merupakan perubahan yang amat besar.

Beberapa tahun lalu, PN bercakap tentang gelombang. Kini PN bercakap tentang kelangsungan.

Beberapa tahun lalu, PN bercakap tentang menawan kuasa. Kini PN bercakap tentang menjadi pembangkang yang berkesan.

Dan apabila kenyataan Muhyiddin dibaca bersama kenyataan Abdul Hadi, satu persoalan besar mula timbul.

Adakah kedua-dua pemimpin itu masih bercakap mengenai destinasi politik yang sama?

Akhirnya, Semua Laluan Akan Membawa Kepada Onn Hafiz

Di tengah-tengah semua percaturan ini berdiri seorang tokoh yang mungkin paling kurang bercakap mengenai penjajaran politik, tetapi bakal menanggung kesan paling besar daripadanya.

Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sepanjang kempen, beliau cuba memastikan pilihan raya ini kekal tertumpu kepada prestasi kerajaan negeri, pembangunan ekonomi, JS-SEZ, RTS dan agenda pelaburan Johor. 

Namun kenyataan Abdul Hadi dan reaksi Ahmad Zahid telah membuka dimensi baharu yang tidak boleh diabaikan.

Sekiranya BN memperoleh kemenangan besar, isu itu mungkin tidak lagi relevan, dan Onn Hafiz akan terus memimpin kerajaan dengan mandat yang kuat.

Tetapi jika keputusan lebih rapat daripada jangkaan, segala tumpuan akan beralih kepada bagaimana beliau menguruskan realiti politik baharu yang sedang muncul, dengan tekanan dari pelbagai arah.

Beliau perlu mengekalkan keyakinan penyokong tradisi UMNO, dan memastikan hubungan dengan kepimpinan pusat kekal selari.

Beliau juga perlu mengurus persepsi rakyat Johor yang sudah beberapa kali mendengar mesej berbeza daripada pemain politik yang berlainan mengenai bentuk kerjasama selepas pilihan raya.

Sebab itu, menjelang hari pengundian, persoalan terbesar mungkin bukan lagi siapa yang sedang menawarkan kerjasama kepada siapa.

Persoalan sebenar ialah sama ada mandat yang bakal diterima Onn Hafiz cukup besar untuk membolehkan beliau mentadbir Johor tanpa perlu mengambil kira semua percaturan yang sedang berlaku di sekelilingnya.

Ketika ini bacaan dari sumber dalaman memperlihatkan bacaan bahawa Barisan Nasional Johor mungkin mempunyai peluang untuk mendapat angka dua pertiga majoriti yang amat diperlukan, iaitu 37 kerusi. 

Namun apa-apa angka yang kurang daripada pencapaian pada 2022, iaitu 40 kerusi, maka ia akan memberi ruang dan peluang kepada pihak lawan untuk mempertikai keyakinan BN yang memohon pembubaran awal Dewan Undangan Negeri, khususnya terhadap langkah Onn Hafiz sendiri.

Dan mungkin kritikan itu datang dari dalam parti sendiri.

Dan di situlah sebenarnya makna politik Johor 2026.

Kerana apa yang bermula sebagai pilihan raya negeri kini semakin menyerupai ujian awal kepada bagaimana kuasa politik Melayu akan disusun semula dalam tahun-tahun mendatang.

 

Must Watch Video

Advertisement