TEXAS: Jabatan Bomba Austin di Amerika Syarikat menerima panggilan kecemasan sehari sebelum Hari April Fool bagi membantu seekor tupai yang kepalanya tersekat dalam sebatang pokok.

"Ini bukan satu gurauan," kata jabatan itu dalam catatan pada akaun Facebook rasminya berkenaan usaha menyelamat itu.

Tambahnya mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 malam pada Selasa berkenaan seekor tupai yang tersekat dalam sebatang pokok.

Tupai tersebut dikatakan tidak dapat melepaskan diri dan mungkin akan mati jika tidak diselamatkan, jelas agensi itu.

Video yang dimuat naik di akaun Facebook agensi berkenaan menunjukkan anggota bomba menyelamatkan tupai tersebut dengan hanya mengurut bahagian belakang tupai tersebut sambil memusing kepalanya.

"Video berkenaan menunjukkan anggota kami Steven Slaughter dan Shane Burton cuba menyelamatkan tupai berkenaan," tambah catatan tersebut.


 
Sumber Facebook AustinFireDepartment


Walaupun insiden berkenaan mungkin dilihat perkara kecil kepada sesetengah pihak, namun kepada anggota bomba Jabatan Bomba Austin, mereka akan memberikan perkhidmatan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.