Ringkasan AI
- Pemeriksaan rutin TUDM di Pangkalan Udara Subang menemui lima bagasi dan sebuah kotak mengandungi dadah berbahaya pada 17 November lalu.
- Lima pegawai TUDM ditahan untuk membantu siasatan, dan semua barangan berkenaan telah disita sebagai bahan bukti oleh pihak berkuasa.
- Kementerian Pertahanan menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai terlibat, serta mempergiat operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman.
KUALA LUMPUR: Pemeriksaan rutin dalaman Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang pada 17 Nov lepas berjaya mengesan lima bagasi dan sebuah kotak mengandungi dadah berbahaya.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penemuan itu membawa kepada penahanan lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat untuk membantu siasatan.
Beliau berkata kejadian itu dikesan sendiri oleh petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan rutin terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM.
"Penemuan tersebut segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM yang kemudiannya menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM di Bukit Aman.
"Pada kira-kira 5.20 petang hari sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata kesemua lima bagasi dan sebuah kotak berkenaan telah disita sebagai bahan bukti.
Mohamed Khaled berkata penemuan itu merupakan kejadian pertama seumpamanya dikesan ketika pemeriksaan rutin yang dilaksanakan TUDM secara berkala bagi memastikan organisasi itu bebas daripada kegiatan dadah.
Katanya, TUDM telah mengambil tindakan segera dengan menyerahkan kes berkenaan kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses itu.
Beliau menegaskan Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti terlibat atau bersubahat.
"Operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipergiatkan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia kekal bebas daripada kegiatan dadah," katanya.