Skip to main content

Bisnes

APEC platform strategik Malaysia tarik pelaburan asing, teroka pasaran global

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapannya yang bertajuk "Memikirkan Semula Keterbukaan: Membina Kemakmuran Bersama di Asia Pasifik" pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026 di Pusat Persidangan Antarabangsa Qianhai. -- fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapannya yang bertajuk "Memikirkan Semula Keterbukaan: Membina Kemakmuran Bersama di Asia Pasifik" pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026 di Pusat Persidangan Antarabangsa Qianhai. -- fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Penyertaan Malaysia dalam APEC membuka peluang strategik untuk menarik pelaburan langsung asing dan memperluas hubungan perdagangan dengan ekonomi utama dunia.
  • APEC menghimpunkan 21 ekonomi yang mewakili lebih 61 peratus KDNK global dan nilai perdagangan sekitar US$61 trilion.
  • Malaysia boleh manfaatkan kerjasama dengan negara seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea Selatan melalui platform APEC.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) memberi peluang strategik kepada negara untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), selain memperluas hubungan perdagangan dengan ekonomi utama dunia.

Pengarah Institut Kajian Indonesia, Thailand dan Singapura Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib berkata, kepentingan APEC terletak pada keupayaannya menghimpunkan 21 ekonomi yang mewakili kira-kira tiga bilion penduduk dunia serta lebih 61 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Beliau berkata, gabungan ekonomi berkenaan turut mewakili nilai perdagangan kira-kira US$61 trilion, sekali gus menjadikan APEC platform penting untuk Malaysia memasarkan potensi ekonomi negara kepada pelabur antarabangsa.

Advertisement

Katanya, kedudukan strategik rantau Asia Pasifik yang menghubungkan Amerika Utara, Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand turut menjadikan kawasan itu penting dalam perdagangan dunia.

"Asia itu sendiri pun dengan 600 hingga 700 juta penduduk, memiliki keupayaan untuk memberikan pengaruh yang kuat terhadap perdagangan dunia apabila laluan perkapalan di Laut China Selatan dan juga Selat Melaka itu penting untuk menghubungkan Timur dan Barat," katanya.

Advertisement

Beliau berkata, hubungan ekonomi Malaysia dengan Amerika Syarikat juga signifikan, khususnya dalam meneroka peluang kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk menerusi pusat penyelidikan yang banyak terdapat di California.

Selain itu, China, Jepun dan Korea Selatan turut menjadi antara rakan ekonomi penting memandangkan penglibatan negara Asia Timur berkenaan diperlukan dalam landskap ekonomi semasa.

Menurutnya, China khususnya mempunyai peranan penting dalam rantaian bekalan global menerusi keupayaan tenaga buruh yang kompetitif dari segi kos, sekali gus menyokong pengeluaran pelbagai produk termasuk komputer riba serta barangan yang dipasarkan secara dalam talian.

Beliau berkata, Malaysia juga boleh meneroka potensi kerjasama dengan negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, selain memanfaatkan perkembangan ekonomi negara-negara anggota APEC.

Dalam pada itu, beliau berkata, APEC turut menyediakan ruang kepada Malaysia untuk berinteraksi dengan kuasa ekonomi utama dunia termasuk negara yang mempunyai hubungan dengan kumpulan BRICS seperti Rusia dan China.

Katanya, hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS juga menjadikan penglibatan dalam platform seperti APEC sebagai antara pemangkin untuk memperkenalkan dan memasarkan negara kepada masyarakat antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement