KONGLOMERAT fesyen dari Perancis yang juga bos jenama Louis Vuitton, Bernard Arnault dinamakan individu terkaya di dunia oleh Indeks Billionaires Bloomberg.

Arnault, 73, ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LVMH, konglomerat barangan mewah yang turut memiliki jenama mewah lain seperti Dior, Tiffany dan Bulgari kini mempunyai kekayaan bernilai AS$170.6 billion (RM751 bilion).

Pengasas Tesla, Elon Musk pula berada di tempat kedua dengan nilai AS$163.1 billion (RM717 bilion).

Nilai Musk banyak bergantung pada prestasi Tesla yang melonjak semasa pandemik COVID-19, tetapi kebimbangan terhadap pengeluaran membuatkan ia jatuh menjunam.

Sebaliknya, perniagaan barangan mewah LVMH melalui pasaran tahun lalu dengan lebih teguh.

Saham syarikat yang berpangkalan di Paris itu turun hanya 9.7 peratus sejak awal tahun.

Perniagaan LVMH mendapat manfaat apabila permintaan untuk produk runcit mewah meningkat sebaik sahaja sekatan COVID-19 ditarik balik membolehkan aktiviti membeli-belah kembali dijalankan.

Arnault membeli rumah fesyen Perancis, Dior daripada muflis pada 1980-an dan menggunakannya untuk mendapatkan pegangan dalam LVMH.

Struktur pegangan saham itu kekal sehingga hari ini.

Arnault memiliki lebih daripada 97 peratus pegangan dalam Dior, membolehkannya memiliki 41 peratus LVMH, lapor Wall Street Journal.

Sementara itu, bilionair infrastruktur dari India, Gautam Adani, 60, pula berada di tempat ketiga dengan nilai kekayaan bersih sebanyak AS$122.4 bilion (RM538.50 bilion) iaitu naik satu anak tangga daripada kedudukan keempat pada Julai tahun lalu.

Indeks Billionaires Bloomberg turut menyenaraikan bilionair Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett, 92, sebagai orang keempat terkaya di dunia dengan nilai kekayaan bersih AS$109.3 bilion (RM480.3 bilion) dan beliau juga memiliki firma Berkshire Hathaway dan berpuluh-puluh syarikat lain seperti Duracell, syarikat insurans Geico serta rangkaian restoran Dairy Queen.

Pengerusi dan pengasas syarikat Amazon, Jeff Bezos, 58, dari AS tersenarai sebagai orang kelima terkaya di dunia dengan nilai bersih semasa syarikat gergasi itu ialah AS$108.4 bilion (RM476.69 bilion).