Skip to main content

Dunia

BRICS 2026: PM Anwar akui pertikaian laut China Selatan masih membimbangkan

  MY  Skip navigation Search    Create  9+  Avatar image NDTV LIVE: BRICS Summit 2026 | Malaysian President Anwar Ibrahim Exclusive With NDTV -- Youtube NDTV
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemu bual secara eksklusif oleh media antarabangsa NDTV sempena lawatan kerja beliau ke New Delhi, India. - Foto YouTube NDTV
Advertisement

NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tuntutan bertindih China di Laut China Selatan masih menjadi kebimbangan Malaysia, namun menegaskan pendekatan diplomasi dan rundingan kekal menjadi pilihan utama dalam menangani isu tersebut.

Ketika ditemu bual secara eksklusif bersama media antarabangsa NDTV, beliau berkata Malaysia dan China mempunyai tuntutan yang bertindih di beberapa kawasan Laut China Selatan, namun hubungan antara kedua-dua negara setakat ini kekal stabil dan penglibatan diplomatik berlangsung secara aman.

Sehubungan itu, Anwar berkata negara-negara ASEAN telah lama menggesa supaya satu Kod Tata Kelakuan (Code of Conduct, COC) diwujudkan bagi mengawal tingkah laku pihak-pihak yang terlibat di Laut China Selatan.

Menurutnya, Beijing turut memberikan maklum balas positif terhadap usaha berkenaan dan rundingan sedang diteruskan bagi memuktamadkan parameter yang akan diguna pakai dalam kod tersebut.

"Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 diterima sebagai asas, tetapi dalam beberapa perkara tertentu ia masih terlalu umum dan memerlukan garis panduan yang lebih jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan mengenai tindakan China yang didakwa terus memperkukuh tuntutannya di Laut China Selatan, termasuk melalui pembinaan pulau buatan dan kemudahan strategik di kawasan yang dipertikaikan.

Tambahnya, beliau berkata negara-negara ASEAN sepakat bahawa rundingan perlu diperdalamkan bagi memastikan COC dapat direalisasikan sebagai mekanisme yang mampu membantu mengurangkan ketegangan dan mengelakkan insiden tidak diingini di perairan berkenaan.

Pada masa sama, Anwar menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua kuasa besar termasuk China dan India, tanpa mengabaikan hak negara untuk menyuarakan pendirian terhadap isu yang menyentuh kepentingan nasional.

"Malaysia sebuah negara yang kecil, tetapi kita mahu mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak. Pada masa sama, kita juga mesti mempunyai keberanian untuk menyatakan pandangan dan bantahan apabila perlu," katanya.

Laut China Selatan kekal menjadi antara titik panas geopolitik dunia susulan tuntutan bertindih melibatkan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei dengan China, yang menuntut sebahagian besar kawasan perairan strategik itu.

Must Watch Video

Advertisement