RIBUAN warga England menghabiskan cuti hari Krismas untuk berbaris bagi mendapatkan vaksin penggalak COVID-19 susulan varian Omicron yang semakin menular di negara berkenaan.

Britain telah memperluaskan program suntikan penggalaknya sejak dua minggu lalu dengan membuka semula stadium sukan dan katedral sebagai hab inokulasi, selepas penyelidikan menunjukkan bahawa dua dos vaksin tidak cukup untuk melindungi diri dari jangkitan varian Omicron.

Walaupun perkhidmatan kesihatan negara itu dilihat berlumba-lumba memberi vaksin kepada seramai mungkin warganya, jumlah jangkitan masih melonjak melepasi 100,000 sehari.

Angka tertinggi itu dicatatkan minggu lepas buat kali pertama dalam pandemik.

Setiausaha Kesihatan Sajid Javid pada Jumaat menggesa orang ramai untuk "menjadikan suntikan penggalak sebagai sebahagian daripada sambutan Krismas tahun ini".

Javid juga memuji pekerja barisan hadapan yang sanggup bertugas sepanjang tempoh perayaan bagi memberikan suntikan kepada orang ramai.

Ancaman Omicron dalam data yang dikeluarkan oleh pejabat statistik nasional menganggarkan 1.7 juta orang di UK menghidap COVID-19 pada minggu 19 Disember - jumlah tertinggi sejak angka paling tinggi direkodkan pada musim luruh 2020.

Walaupun kadar jangkitan semakin meningkat, pegawai kesihatan awam berharap vaksinasi yang meluas akan mengehadkan bilangan kemasukan ke hospital atau kematian akibat COVID-19.