LONDON: Perdana Menteri Rishi Sunak berkata Britain telah memutuskan untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) .

Ini adalah perjanjian perdagangan terbesar sejak Brexit selepas 21 bulan rundingan, lapor Xinhua.

Britain akan menjadi ahli baharu pertama sejak CPTPP diwujudkan pada 2018 dan negara Eropah pertama dalam blok itu.

"Dengan menyertai blok perdagangan CPTPP ia akan meletakkan UK di tengah-tengah kumpulan ekonomi Pasifik yang dinamik dan berkembang.

"Perniagaan Britain kini akan menikmati akses yang tiada tandingan kepada pasaran dari Eropah ke selatan Pasifik," kata Sunak.

Kumpulan blok perdagangan terbesar di Indo-Pasifik itu akan mempunyai jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 11 trilion pound (AS$13.65 trilion), merangkumi lebih 500 juta orang dan menyumbang 15 peratus daripada KDNK global sebaik sahaja Britain menjadi ahli ke-12.

Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan Kemi Badenoch berkata keahlian itu akan menyokong pekerjaan dan mewujudkan peluang untuk semua syarikat di UK.

"Perjanjian itu akan memberikan perniagaan Britain akses yang lebih baik ke negara-negara yang akan menjadi pintu masuk ke rantau Indo-Pasifik yang lebih luas yang diunjurkan membentuk sebahagian besar pertumbuhan global pada masa depan," katanya.

Ahli CPTPP ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

-- BERNAMA