Skip to main content

Malaysia

KDN panjangkan permohonan RM4.3 juta naik taraf Kem Batalion 3 PGA Bidor

TAPAH, 18 Mei -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media semasa Lawatan Kerja ke Depot Imigresen Sementara, Bidor hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media semasa Lawatan Kerja ke Depot Imigresen Sementara, Bidor hari ini. - Foto Bernama

TAPAH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanjangkan permohonan peruntukan kewangan kira-kira RM4.3 juta bagi menaik taraf kemudahan di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini, kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata peruntukan tersebut amat penting bagi memperkasa kebajikan anggota serta logistik di kem berkenaan memandangkan PGA memikul tanggungjawab besar dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam negara.

“Jadi hari ini beliau (Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh) minta lagi untuk kem ini, tak banyak lebih kurang RM4.3 juta. Jadi saya tak sebut apa lagi, saya akan panjangkan perkara ini kepada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mengadakan lawatan kerja strategik ke Batalion 3 PGA Bidor di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Saifuddin Nasution berkata permohonan yang disuarakan oleh Balveer Singh itu menyusuli beberapa siri kejayaan permohonan terdahulu termasuk dana RM40 juta pada 2024 bagi membaik pulih kira-kira 50 pos PGA serta RM18 juta bagi pembangunan infrastruktur di PGA Kulim, Kedah.

Beliau berkata langkah turun padang bagi meninjau terus keperluan kebajikan dan logistik PGA adalah sebagai penghargaan pihak kerajaan terhadap komitmen luar biasa pasukan keselamatan tersebut yang sentiasa bersiap siaga mengekang jenayah rentas sempadan.

Saifuddin Nasution berkata peranan pasukan di bawah Jabatan KDNKA adalah antara elemen terpenting negara, apabila impak sumbangan pasukan itu dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat yang mampu menjalani kehidupan harian dengan aman tanpa sebarang kebimbangan.

“Dan kita pun tahu nak jaga sempadan ini, kalau pakai aset sahaja tak lengkap. Kita mesti dilengkapkan dengan radar yang terkini,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution meluangkan masa kira-kira sejam di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor yang bermula dengan taklimat pengoperasian PGA oleh Balveer Singh kira-kira 30 minit.

-- BERNAMA

Must Watch Video