Skip to main content
Advertisement

Dunia

British Columbia saman OpenAI susulan insiden tembakan sekolah

Workers install a fence around a makeshift memorial for the victims two days after a deadly mass shooting took place at a school in the town of Tumbler Ridge, British Columbia, Canada, February 12, 2026. REUTERS
Pekerja memasang pagar di sekeliling memorial sementara bagi memperingati mangsa yang terkorban, dua hari selepas insiden tembakan maut di sebuah sekolah di bandar Tumbler Ridge, British Columbia, Kanada. - Foto REUTERS
Advertisement

SAN FRANCISCO: Kerajaan wilayah British Columbia memfailkan saman terhadap OpenAI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman, dengan mendakwa insiden tembakan di sebuah sekolah di Tumbler Ridge yang mengorbankan sembilan nyawa mungkin dapat dicegah jika syarikat itu memaklumkan pihak berkuasa mengenai aktiviti pelaku di ChatGPT.

Saman yang difailkan di mahkamah persekutuan San Francisco itu menuntut ganti rugi bagi menampung kos pemulihan susulan tragedi yang berlaku pada Februari lalu, selain memohon perubahan terhadap kaedah OpenAI mengendalikan perbualan yang berpotensi membawa kepada keganasan.

Menurut dokumen mahkamah, pelaku, Jesse Van Rootselaar, telah dikenal pasti oleh pasukan keselamatan OpenAI susulan perbualan berkaitan keganasan senjata api. Namun, syarikat itu didakwa tidak memaklumkan perkara tersebut kepada polis.

Dalam kejadian pada 10 Februari lalu, Van Rootselaar yang berusia 18 tahun dilaporkan membunuh ibu dan abang tirinya sebelum menyerang sekolah lamanya, mengorbankan seorang pembantu pendidikan dan lima pelajar berusia 12 hingga 13 tahun. Beliau kemudian ditemukan meninggal dunia.

Saman itu turut mendakwa pasukan keselamatan OpenAI pernah mencadangkan supaya pihak berkuasa dimaklumkan, namun cadangan berkenaan ditolak oleh kepimpinan syarikat.

Jurucakap OpenAI, Drew Pusateri, menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi dan berkata syarikat berkenaan kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan serta agensi penguat kuasa dalam memperkukuh aspek keselamatan platformnya.

Tindakan British Columbia itu dibuat selepas lebih 30 ahli keluarga mangsa dan individu yang terkesan turut memfailkan saman terhadap OpenAI, dengan mendakwa syarikat tersebut gagal mengambil peluang yang ada untuk menghalang serangan berkenaan.

Kes itu menambah kepada beberapa tindakan undang-undang yang sedang dihadapi OpenAI di Amerika Syarikat berkaitan dakwaan bahawa ChatGPT telah memudahkan perlakuan keganasan.

OpenAI bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan sistemnya dilatih untuk menolak permintaan yang boleh menyumbang kepada tindakan ganas serta memaklumkan pihak berkuasa apabila wujud ancaman yang nyata dan segera.

 

 

Must Watch Video

Advertisement