SUNGAI PETANI: Tiga individu termasuk sepasang suami isteri maut dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata dalam kejadian pada 12.16 tengah hari, seorang pesara polis dan isterinya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka, terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 114.4 arah utara, berhampiran Tikam Batu.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Bezza yang dinaiki sepasang suami isteri berhenti di lorong kecemasan untuk bertukar pemandu, mula bergerak memasuki lorong kiri sebelum berlaku perlanggaran dengan dua motosikal.
“Motosikal jenis Yamaha XMAX yang ditunggang Suhaimi Saidin, 64, bersama-sama isterinya Normah Hashim, 60, tercampak ke lorong kanan jalan dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanyan berkata kemalangan itu turut menyebabkan penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal jenis XDV180 EVO, masing-masing berusia 18 dan 15 tahun, mengalami kecederaan parah.
Pemandu Perodua Bezza berusia 36 tahun dan penumpangnya, 41, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut, manakala mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Jabatan Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.
Difahamkan, Suhaimi yang bersara pada 11 Ogos 2022 pernah berkhidmat di Cawangan Perkhidmatan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Sementara itu, dalam kejadian kira-kira 9 pagi di Kilometer 108 arah utara, berhampiran susur keluar Sungai Petani Selatan, seorang juruteknik maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan.
Hanyan berkata siasatan awal mendapati lori yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Sungai Petani mengalami masalah enjin, sebelum berhenti di lorong kecemasan, dengan pemandunya turut meletakkan segi tiga amaran.
“Kira-kira 10 minit kemudian, motosikal jenis Honda ADV 160 yang ditunggang mangsa, dipercayai tidak menyedari kehadiran lori berkenaan sebelum merempuh bahagian belakangnya,” katanya.
Beliau berkata mangsa, Mohamad Saifudin Saad, 43, yang bekerja di sebuah syarikat di Pulau Pinang, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pemandu lori berusia 34 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Hanyan berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA