Ringkasan AI
- Polis menjalankan siasatan berhubung video tular yang mendakwa salah laku anggota polis ketika pemeriksaan di Puncak Erskine, Tanjung Tokong.
- Laporan polis telah dibuat oleh anggota terlibat yang menafikan dakwaan rasuah, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan video atau membuat spekulasi, serta diminta tampil membantu siasatan jika mempunyai maklumat.
GEORGE TOWN: Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung video tular di media sosial, yang mendakwa berlaku salah laku membabitkan anggota polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di Puncak Erskine, Jalan Fettes di Tanjung Tokong, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya mengesan video itu hari ini, susulan penyebarannya di media sosial yang menarik perhatian masyarakat.
“Satu laporan polis telah diterima daripada anggota polis yang terbabit dan dia menafikan dakwaan berlaku salah laku rasuah semasa pemeriksaan dijalankan.
“Ekoran itu polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian yang dipaparkan dalam video tular itu, di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Abdul Rozak berkata aspek pematuhan prosedur dan tatatertib anggota polis yang terlibat, turut akan disiasat.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mana-mana saksi, individu yang terlibat serta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Timur Laut di talian 04-2181822 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Zahirrudin Ismail menerusi nombor 014-3189026.
Terdahulu tular di media sosial beberapa video memaparkan dua anggota polis unit kereta peronda telah menahan sebuah kereta dinaiki beberapa individu dan memeriksa mereka dengan perakam video tersebut mendakwa anggota polis berkenaan mengambil duit daripada kumpulan tersebut.
-- BERNAMA