Buat kali pertama, penghijrahan terbesar hidupan liar Maasai Mara tanpa pelancong asing

Dengan pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, panorama luar biasa itu hanya disaksikan warga tempatan Kenya.

Tahun ini, kerajaan Kenya mengharapkan rakyat tempatan memberi sokongan kepada industri pelancongan, khususnya di tarikan hidupan liar Maasai Mara. - Reuters | Astro Awani
Tahun ini, jutaan hidupan liar meneruskan aktiviti penghijrahan tahunan di kawasan warisan dunia tanpa disaksikan spesies manusia dari seluruh dunia.

Biasanya, dataran luas savannah di kawasan rizab Maasai Mara, Kenya dipenuhi kumpulan pelancong dunia yang berharap dapat menyaksikan kawanan singa memburu mangsa sempena musim penghijrahan terbesar spesies kijang wildebeest.

Namun, pada tahun ini, dengan pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, panorama luar biasa itu hanya disaksikan warga tempatan Kenya, lapor Reuters.

Itu merupakan berita baik untuk sesetengah pemerhati hidupan liar namun suatu berita buruk buat kumpulan konservasi yang bergantung pada dana yang dibayar pelancong untuk menampung upah renjer serta kos perlindungan.



Pada bulan Jun lepas, Kenya sudahpun kerugian 80 bilion Shilling (RM3.1 bilion) akibat sektor pelancongan yang merudum. Jumlah itu adalah separuh daripada jumlah pendapatan tahun lalu.

Semuanya gara-gara krisis koronavirus, yang membuatkan negara itu terpaksa menutup pintu masuk penerbangan antarabangsa sejak Mac lalu.

Setakat ini Kenya mencatat lebih 26,000 kes jangkitan COVID-19 dengan 420 kematian.

Resort penginapan pelancong pula diwajibkan mematuhi amalan penjarakan fizikal yang ketat selain langkah-langkah penjagaan kebersihan.

"Kami cuba untuk menghidupkan semula sektor pelancongan menerusi strategi domestik. Sebab itulah kami meminta warga Kenya menyokong industri ini,” ujar Menteri Pelancongan dan Hidupan Liar Kenya, Najib Balala.