ASTANA: Kazakhstan meluluskan rang-rang undang-undang (RUU) untuk mengehadkan tempoh penggal presiden kepada tujuh tahun berbanding lima tahun sebelum ini, dan menghalang mana-mana presiden daripada bertanding untuk penggal kedua.

Pindaan RUU itu mendapat sokongan sebulat suara daripada Parlimen Kazakhstan selepas bacaan kali kedua.

Selain itu, kelulusan terhadap RUU tu juga menyaksikan nama ibu negara Asia Tengah itu dikembalikan kepada Astana selepas ia ditukar kepada Nur-Sultan pada Mac 2019.

Bandar yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit itu dinamakan Nur-Sultan pada 2019 sebagai penghormatan kepada bekas pemimpin lama negara itu, Nursultan Nazarbayev.

Menurut keputusan di laman web presiden, perubahan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Astana menjadi ibu negara Kazakhstan pada tahun 1997 semasa pentadbiran Nazarbayev, yang memimpin negara itu selama tiga dekad di bawah Kesatuan Soviet.

Selepas mencapai kemerdekaan pada 1991, ibu negara Kazakhstan yang sebelum itu terletak di Almaty dipindahkan ke Astana.

Bagaimanapun, pada 2019, Astana telah dinamakan sebagai Nur-Sultan, perubahan yang menelan belanja kira-kira AS$64,000.

Sejak Kassym-Jomart Tokayev mengambil alih kepimpinan pada 2019, beliau secara beransur-ansur menjauhkan diri daripada mentornya, Nazarbayev dengan melancarkan pembaharuan dan mengetepikan puak berpengaruh bekas presiden berkenaan.