Skip to main content

Dunia

California perketat peraturan keselamatan media sosial, bot sembang AI untuk kanak-kanak

51475165989_KanakKanakGajet.jpg
Langkah itu melarang platform yang dilindungi daripada menerapkan ciri ketagihan termasuk suapan ketagihan dan automain untuk pengguna bawah 16 tahun. - Gambar hiasan
Advertisement

SACRAMENTO: Gabenor California Gavin Newsom pada Khamis menandatangani 13 rang undang-undang bertujuan mengukuhkan perlindungan untuk kanak-kanak terhadap risiko dalam talian, terutamanya yang melibatkan media sosial dan teman bot sembang kecerdasan buatan (AI), lapor Xinhua.

Langkah itu melarang platform yang dilindungi daripada menerapkan ciri ketagihan termasuk suapan ketagihan dan automain untuk pengguna bawah 16 tahun, menurut pejabat gabenor. Pihak berkuasa juga mengalih keluar pilihan kebenaran ibu bapa bagi pengguna tersebut dan memerlukan platform untuk mengesahkan umur pengguna sebelum menyediakan ciri berkenaan.

Newsom juga menandatangani Rang Undang-Undang Senat 1119, yang dikenali sebagai "Undang-Undang Adam," yang menetapkan perlindungan baharu untuk kanak-kanak bawah 18 tahun yang menggunakan teman bot sembang.

Undang-undang itu dinamakan sempena Adam Raine, seorang remaja California berusia 16 tahun yang meninggal dunia akibat membunuh diri pada 2025 selepas berinteraksi dengan ChatGPT, menurut Senator Negeri Steve Padilla, salah seorang penulis rang undang-undang itu.

Antara lain undang-undang berkenaan memerlukan penilaian risiko keselamatan kanak-kanak, protokol krisis menangani idea membunuh diri dan mencederakan diri, kawalan ibu bapa, notis memaklumkan kanak-kanak bahawa mereka berinteraksi dengan AI dan langkah-langkah untuk menghalang bot sembang daripada menggalakkan kanak-kanak bergantung pada mereka untuk sokongan emosi.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement