LIMA: Pejabat pendakwa raya awam Peru mendakwa calon Presiden berhaluan kiri, Roberto Sanchez atas beberapa kesalahan jenayah kewangan, dengan pendakwa memohon agar beliau dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun empat bulan.
Pertuduhan itu didedahkan pada Selasa, hanya beberapa jam selepas pihak berkuasa pilihan raya mengesahkan Sanchez berada di landasan untuk mara ke pusingan kedua pemilihan Presiden yang dijadualkan berlangsung pada 7 Jun ini.
Menurut laporan akhbar El Comercio, pihak pendakwaan mendakwa Sanchez, calon daripada parti Juntos por el Peru (Bersama untuk Peru), telah mengemukakan pengisytiharan kewangan palsu kepada Pejabat Kebangsaan Proses Pilihan Raya berkaitan sumbangan kempen antara 2018 hingga 2020.
Pendakwa raya turut mendakwa Sanchez dan abangnya, William Sanchez, menerima lebih 280,000 sol Peru (kira-kira AS$81,720) dalam bentuk sumbangan dan yuran keahlian yang tidak pernah dilaporkan dalam penyata kewangan parti berkenaan.
Sanchez juga dituduh membuat kenyataan palsu dalam beberapa prosiding pentadbiran.
Selain hukuman penjara, pihak pendakwaan turut memohon agar Sanchez dikenakan larangan kekal daripada memegang jawatan Presiden bagi parti Juntos por el Peru, menurut El Comercio.
Bagaimanapun, peguam Sanchez menolak dakwaan tersebut dengan memberitahu media tempatan RPP bahawa bendahari parti dan bukannya Sanchez bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pelaporan kewangan parti.
Hakim dijangka membuat keputusan pada 27 Mei sama ada kes itu akan dibicarakan.
Pertuduhan tersebut muncul ketika proses pengiraan undi bagi pusingan pertama pilihan raya bulan lalu menunjukkan Sanchez mara ke pusingan kedua menentang pencabarnya dari parti konservatif, Keiko Fujimori.
Dengan 99.76 peratus undi telah dikira, Fujimori - anak kepada bekas Presiden, Alberto Fujimori dan calon Presiden sebanyak empat kali — mendahului dengan 17.17 peratus undian.
Sanchez yang bertanding dengan sokongan bekas Presiden, Pedro Castillo yang kini dipenjarakan, memperoleh 12 peratus undi, hanya sedikit mengatasi bekas Datuk Bandar Lima yang berhaluan ultra-konservatif, Rafael Lopez Aliaga yang meraih 11.91 peratus, dengan perbezaan kira-kira 15,000 undi.
Keputusan muktamad pilihan raya itu dijangka diumumkan pada 15 Mei ini. - Agensi