Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tergamak membunuh ibu kandungnya gara-gara pertengkaran disebabkan markah rendah dalam ujian.

Gregory Logan Ramos, mengaku mencekik hingga mati ibunya, Gail Cleavenger, 46, di kediaman mereka di Florida pada Jumaat minggu lalu selepas satu pertengkaran disebabkan gred D yang diperolehinya dalam ujian sekolah.

Ibunya turut sempat menelefon suaminya yang sedang bertugas di Seattle untuk mengadu tentang hal tersebut.

Tidak berpuas hati dengan hal itu, Ramos menunggu ibunya masuk tidur sebelum menyelinap ke dalam bilik dan cuba mencekiknya, si ibu mencakar dan menolak Ramos, namun setelah hampir setengah jam bergelut, wanita itu akhirnya meninggal dunia.

Selepas membunuh ibunya, Ramos memanggil dua rakan sekolah, Dylan Ceglarek dan Brian Porras, masing-masing berusia 17 tahun ke rumahnya untuk melakukan 'rompakan' demi mengelirukan pihak berkuasa.

Setelah itu, mereka memandu ke gereja berhampiran dan menanam mayat Cleavenger di bawah pendiang api sebelum pulang ke rumah dan menelefon talian kecemasan 911 dan melaporkan 'kehilangan' ibunya.

Ramos kini ditahan di pusat tahanan juvana selama tiga minggu, manakala dua rakannya dibenarkan pulang dan pergerakan mereka diawasi.

Sherif Volusia County, Mike Chitwood berkata, Ramos tidak menunjukkan sebarang rasa kesal atas perbuatan kejamnya dan mengatakan remaja itu tiada 'jiwa'.

Pihak pendakwa kini sedang menimbang sama ada mahu mendakwa Ramos sebagai orang dewasa. - Dailymail