BELIAU adalah produk unggul 'Orde Baru' Soeharto. Beliau merupakan seorang menteri Kabinet yang setia selama dua dekad dan protege yang dinaikkan pangkat, dikagumi dan dilindungi.

Namun begitu, sejak Mei 1998 untuk selama 17 bulan yang intens, ketika mana Indonesia runtuh dilanda Krisis Kewangan Asia (AFC) dan pergolakan politik, Bacharuddin Jusuf (atau BJ) Habibie sebagai Presiden yang baru mengangkat sumpah meleraikan legasi authoritarian mentornya.

Dewi Fortuna Anwar, salah seorang penasihat utama beliau menjelaskan:

"Pak Habibie bukanlah seorang ahli politik. Beliau adalah seorang jurutera - manusia sains. Beliau merekabentuk dan membina sesuatu. Beliau juga membina institusi. Dan sebagai presiden pada masa itu, beliau melihat tugasnya adalah untuk membawa Indonesia keluar daripada suatu krisis multidimensi. Pada fikirannya, Indonesia sudah begitu lama bergantung pada ekonomi semata-mata. Pembangunan sosial dan politik telah membeku. Keadaan itu perlu diubah."

Dilahirkan pada 1936 di pulau timur Sulawesi, Habibie kemungkinan besar boleh melalui kehidupan yang damai, dan relatifnya tersembunyi, sebagai seorang jurutera aeronautikal berjaya di Jerman yang dicintainya, sekiranya tidak kerana Soeharto - ketika itu bintang yang sedang meningkat dalam tentera - telah dihantar untuk mengamankan Makassar (dan Pemberontakan Andi Azizi) di selatan Sulawesi pada 1950.

Sepanduk mengenang BJ Habibie, di luar rumahnya di Patra Kuningan, Selatan Jakarta, pada pagi keesokan harinya selepas kematian beliau. Pasukan Ceritalah

Jeneral yang ketika itu sedang mengadakan lawatan menerima sambutan mesra keluarga Habibie di Jalan Maricaya. Kemesraan yang digabungkan dengan hubungan keturunan Jawa yang dikongsi bersama menjadi asas persahabatan mendalam keluarga itu untuk satu jangka masa yang panjang - hinggakan apabila Soeharto kemudiannya mengunjungi Jerman pada 1970-an, beliau sering memastikan dapat berjumpa Habibie yang ketika itu masih muda, sebagai seorang pelajar bidang kejuruteraan yang bercita-cita tinggi dan berbakat.

Setelah menamatkan pengajiannya, Habibie terus bekerja di kilang pembuatan aeronautikal terkenal Jerman Messerschmidt-Balkow-Blohm (kemudiannya sebahagian daripada Airbus). Bagaimanapun, Pak Harto tidak melupakan anak muda dinamik itu dan pada 1974, Habibie dipanggil balik ke Indonesia untuk mengetuai industrialisasi republik itu - memodenkan perusahaan-perusahaan kecil yang kini merupakan syarikat-syarikat milik negara yang penting seperti PT Pindad, pembuat barangan pertahanan dan PT PAL, pembina kapal.



Sedar atau tidak, beliau telah membentuk unsur-unsur besar bagi identiti negara. Sebagai contoh, peranannya di Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI) telah sekian lama bekerja keras menangani kekaburan yang serius dalam wacana Islam.

Kebangkitan beliau disifatkan spektakular.

Xanana Gusmao, wira kemerdekaan Timur Timor menziarah BJ Habibie ketika hari-hari akhir beliau. Pasukan Ceritalah

Pada 1978, Habibie yang bertubuh kecil itu menyertai Kabinet sebagai Menteri Penyelidikan dan Teknologi. Ketika mana banyak pihak memperkecilkan pencapaiannya dan mengkritik (sesetengahnya memang ada justifikasi) perbelanjaannya yang berlebihan, tidak dapat dinafikan bahawa usahanya untuk mewujudkan sebuah pembuat pesawat terbang Indonesia, IPTN (kini PT Dirgantara), beliau juga telah mewujudkan suatu pasukan jurutera. Sedihnya, dengan berlakunya AFC, banyak keupayaan kejuruteraannya telah hilang - ramai yang pergi bekerja dengan Embraer di Brazil dan juga di tempat-tempat lain.

Hubungannya dengan keluarga Soeharto, yang pada suatu masa dulu sangat berkuasa, tidak pernah pulih, hasil daripada tindakannya melaksanakan agenda reformasi semasa menjadi presiden. Malah, ketara sekali, keluarga itu tidak hadir pada istiadat pengkebumian beliau baru-baru ini.

Presiden Joko Widodo hadir di rumah Habibie bagi memberi penghormatan terakhir. Pasukan Ceritalah

Tentunya, tempoh 17 bulan beliau sebagai presiden penuh dengan keributan. Habibie mengejutkan kritiknya apabila beliau memulakan suatu 'ledakan besar' politik yang luar biasa - membebaskan tahanan politik, melonggarkan sekatan akhbar, menangani keluhan jangka panjang etnik Cina, menubuhkan institusi bebas (termasuk suruhanjaya pilihan raya), menyusun semula badan perlembagaan penting seperti Parlimen dan juga mengusahakan desentralisasi - membawa kepada pemilihan Joko Widodo, bekas Datuk Bandar Solo, sebagai Presiden pada 2014.

Pastinya, tekanan luar - kejatuhan Rupiah dan cetusan keganasan merentas kepulauan dari Ambon ke Aceh dan Kalimantan - bermakna reformasi seumpama itu hampir tidak dapat dielakkan.

Habibie dan isterinya, Ainun. Kompas/Ceritalah

Pun begitu, apa yang dilihat sebagai positif oleh kebanyakan pihak di Barat, iaitu apa yang disebut sebagai 'pembebasan' Timor Timur, di dalam negeri ia dilihat sebagai satu kegagalan besar - terutamanya oleh tentera dan komuniti keselamatan, yang bagi mereka, kedaulatan Indonesia sekian lama tidak boleh dilanggar, atau dalam bahasa Indonesia: Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) Harga Mati!.

Adalah penting untuk tidak memperkecilkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan elit Jakarta pada masa itu. Ini kerana, selama beberapa tahun kemudiannya, setelah beliau meninggalkan kerusi presiden, paling baik pun, kewujudan beliau sebagai presiden tidak dipandang.



Bagaimanapun, ketika kematiannya, kira-kira 20 tahun kemudian, sukar untuk membayangkan sekiranya ada pemimpin lain yang lebih dipandang tinggi dan disayangi. Pastinya, sejarah telah memberikan layanan yang baik kepada reformasi Ledakan Besar politiknya, tetapi selain itu, personaliti Habibie telah menjadikannya seorang wira milenia yang unik.

Habibie ketika mengangkat sumpah sebagai presiden pada 21 Mei 1998. Pejabat Naib Presiden Indonesia/Ceritalah

Sekali lagi, Dewi Fortuna Anwar mengungkapkannya dengan cantik sekali apabila dia menulis: "Beliau seorang yang mesra. Beliau seorang yang tulen. Beliau tidak peduli tentang imej (atau citra)" dan ketulenan emosi ini, malah kerapuhannya, dan akhirnya kasihnya pada isteri Ainun - yang meninggal dunia pada 2010 - yang membentuk reputasi masa kini beliau.

Tentunya, dengan bintang pujaan ramai, Reza Rahadian, membawa watak Habibie di layar perak, tidak menjejaskan reputasinya dalam apa jua bentuk.



Habibie hidup dan mati betul-betul di tengah-tengah kehidupan awam Indonesia. Setiap orang akan berasa kehilangannya, seorang yang personalitinya sukar diramal tetapi peribadinya tetap mempesonakan.

Ia adalah bukti bahawa, dalam kehidupan, akan sentiasa ada kejayaan kedua, dan kadangkala, ketiga.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.