Suatu petang Sabtu, di Daerah Ratchathew, Bangkok, berhampiran pusat metropolis yang berpenduduk 10 juta. Ia merupakan waktu puncak; lalu lintas hampir tidak bergerak dan laluan pejalan kaki di tepi jalan raya penuh dengan orang yang bergegas ke stesen tren BTS yang berhampiran ketika mereka pulang ke rumah masing-masing.
Pasukan Ceritalah sedang duduk bersama Teerapon Thetkerd yang berusia 26 tahun. Terdapat suasana resah - ketidakselesaan - ketika mana bandar raya itu, begitu juga negara keseluruhannya, menunggu Pilihan Raya Umum.
Selepas empat tahun pemerintahan tentera, rakyat Thai sudah bersedia untuk kembali pada demokrasi. Terdahulu pada Mac tahun ini, 30 parti telah menyerahkan surat pendaftaran mereka, termasuk Parti Maju Masa Depan yang baru didaftarkan.
Malah, parti politik baharu itu, yang dipimpin seorang bilionair dan usahawan berusia 39 tahun, orangnya kacak dan berwajah segar, Thanathorn Juangroongruangkit - yang mana keluarganya memiliki syarikat pembuatan gergasi Thai, Summit Group - juga ditubuhkan pada bulan itu.
Dengan sekitar 700 pengasas bersama, ia merupakan sekumpulan ahli akademik, usahawan dan aktivis muda, kebanyakannya mengharapkan berakhirnya pemerintahan junta tentera dan melancarkan suatu siri reformasi politik dan ekonomi.
Walaupun saiznya kecil, di Thailand, ramai yang melihat parti itu sebagai suatu alternatif kepada Parti Demokrat yang penuh kisah masa lalu (bersama wilayah pengaruhnya di selatan) dan parti bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, Pheu Thai, yang masih mendominasi wilayah utara dan jelapang padi Isaarn.
"Saya menyertai Parti Maju Masa Depan pada Jun lalu apabila kawan saya, Sunee, mengajak saya. Dia berkata, 'saya ada kerja untuk kamu di pusat panggilan kami, marilah bantulah kami menganjurkannya.'
"Saya hendak bantu menyelesaikan masalah negara - masalah politik, masalah sosial - jadi, saya pun menyertainya."
Lahir di Wilayah Chai Nat, hampir 200 kilometer ke utara Bangkok, kesedaran politik Teerapon telah timbul lama sebelum itu.
"Pada 2010, saya menonton siaran langsung di saluran Televisyen Rakyat mengenai konflik antara pihak baju merah dan kuning. Saya lihat semua kekerasan itu.
"Dan saya bertanya pada diri sendiri, 'mengapa tentera-tentera ini ikut sahaja arahan supaya menembak orang ramai seperti anjing?' Walaupun ketika berada di tengah-tengah jalan di Bangkok? Maka saya mengambil keputusan untuk berusaha ke arah mengubah masyarakat."
Pada 2011, Teerapon memasuki Universiti Srinakharinwot Bangkok untuk belajar Pentadbiran Awam. Selepas tamat pengajian pada 2015, beliau menyertai beberapa pertubuhan bukan berorentasikan keuntungan, dari Greenpeace ke Mirror Foundation, kebanyakannya bekerja untuk membantu kira-kira 3,249 warga gelandangan Bangkok.
Hari ini, ahli Parti Maju Masa Depan itu memberi tumpuan kepada meningkatkan profil partinya di Thailand dan membangkitkan kesedaran rakyat terhadap isu-isu yang dianggap sebagai tidak adil.
"Kita memang perlu menghapuskan undang-undang seperti Artikel 44 yang memperkasakan kerajaan tentera untuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi 'memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian awam'. Ia merupakan suatu alasan bagi kerajaan untuk melakukan apa saja yang dikehendakinya."
Sementara Teerapon percaya pilihan raya akan diadakan, kebanyakan rakyat Thai kurang optimistik.
Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam baru-baru ini menyatakan bahawa hari pengundian mungkin diadakan seawal 24 Februari, 2019. Itupun masih amat lewat daripada janji awal Perdana Menteri Prayut Chan-o-Chan yang menyatakan bahawa pilihan raya akan diadakan pada Disember tahun ini.
Bagaimanapun, pada 14 September lalu, junta yang memerintah, Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman, mengarahkan dalam Warta Diraja bahawa sekarang parti-parti politik boleh digerakkan, walaupun secara terhad. Ia dengan itu menamatkan sebahagian daripada pengharaman kesemua kegiatan politik sejak ia mengambil alih kuasa pada 2014.
"Ini satu langkah positif bagi kami. Kami sekarang boleh lakukan banyak lagi."
Namun begitu, sebelum pengumuman itu, Thanathorn didakwa pada penghujung Ogos lalu atas tuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap junta itu dalam satu posting Facebook.
"Ia tidak sepatutnya berlaku. Tetapi saya tidak takut. Masanya sudah tiba untuk menamatkan kerajaan ini."
Tetapi, hanya masa yang akan menentukan sama ada rejim tentera Perdana Menteri Prayut akan memberi peluang kepada rakyat Thai seperti Teerapon untuk melakukannya.
Melihat kepada kejutan pilihan raya di Filipina dan di Malaysia baru-baru ini, adakah tentera Thai bersedia untuk mengambil risiko?
*Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI