China pada Rabu telah mengecam Filipina kerana menjalankan kerja-kerja pembaikan sebuah kapal usang di kawasan terumbu Laut China Selatan, seterusnya mendesak Manila memindahkan kapal tersebut.

Menurut laporan Reuters, amaran itu juga diiringi kenyataan keras bahawa pihak Beijing mempunyai hak untuk mengambil tindakan selanjutnya, namun Kementerian Luar China tidak menghurai lanjut mengenainya.

Kemarahan China ini terlihat dalam kenyataannya yang antara lain menggelarkan tindakan Manila itu 'satu pencerobohan yang mendatangkan masalah'.

Sebelum ini telah keluar laporan mengatakan bahawa Filipina telah menggunakan bot-bot nelayan yang diperbuat daripada kayu dan pelbagai rakit lain untuk membawa simen, keluli dan peralatan memateri ke kapal BRP Sierra Madre sejak akhir tahun lalu.

Semua bahan yang dibawa itu adalah sebahagian daripada usaha baik pulih bagi memastikan kapal usang tersebut tidak rosak teruk.

Kapal pendarat tersebut berukuran 100 meter panjang telah dibina untuk kegunaan Tentera Laut Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua.

Ia telah dipindah operasi untuk kegunaan tentera laut Filipina yang sengaja membiarkannya tersadai di beting Second Thomas bagi menandakan hak milik kawasan di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Manila menganggap kawasan terumbu beting yang digelar Second Thomas itu berada dalam zon ekonomi wilayahnya iaitu dalam jangkauan 200 batu nautika.

China yang secara mendakwa memiliki keseluruhan Laut China Selatan memberitahu bahawa kawasan terumbu tersebut adalah dalam kawasan penguasaannya.