JABATAN Pentadbiran Angkasa China (CNSA) pada Ahad menyiarkan video dan gambar baharu planet Marikh selepas kapal angkasa negara itu, Tianwen-1, mendarat dan menjelajah planet berkenaan.

Antara lain, video itu menunjukkan kenderaan perayau (rover) China, Zhurong, mendarat di Marikh bersama payung terjunnya dan turun serta bergerak ke permukaan dataran planet merah itu.

Gambar yang disiarkan pula menunjukkan landskap Marikh dan bekas laluan yang ditinggalkan oleh perayau.

Kapal angkasa Tianwen-1 meninggalkan orbit dan memasuki ruang udara Marikh untuk beroperasi selama 338 hari.

Untuk rekod, jarak antara bumi dengan planet Marikh adalah kira-kira 360 juta kilometer.

Perayau Zhurong kini sudah menjelajah selama 42 hari dan meneroka sejauh 236 meter.

Perayau robot itu, yang dilengkapi enam roda, bertenaga solar dan dengan berat sekitar 240 kilogram, akan meneruskan pergerakan, pengesanan dan misi penerokaan saintifik sebagaimana dirancang.

Kapal angkasa Tianwen-1 akan terus berada di orbit yang menyampaikan komunikasi bagi dengan perayau peneroka dalam penjelajahan saintifik, sambil melakukan operasi pengesanan saintifiknya sendiri.

Mei lepas, Zhurong berjaya mendarat di Marikh, satu kejayaan yang merancakkan lagi cita-cita penerokaan ruang angkasa oleh Beijing.

Ia juga bakal mencatat sejarah buat negara itu dalam misi pertama ke planet berkenaan.

Dengan kejayaan terbaharu itu, ia menjadikan China sebagai negara pertama berjaya melakukan operasi mengorbit, pendaratan dan penerokaan ketika misi pertama negara itu ke Marikh.

Ia adalah prestasi yang tidak dapat ditandingi Amerika Syarikat dan Rusia dalam menjejaki planet merah.