Skip to main content

Dunia

China salur 80 juta yuan bantu mangsa gempa bumi Xizang

Orang ramai mendirikan khemah untuk menempatkan penduduk yang terjejas akibat gempa bumi di sebuah sekolah rendah selepas gempa melanda Daerah Baqen, Bandar Nagqu di Wilayah Autonomi Tibet, barat daya China, pada Jumaat. - Gambar AP
Orang ramai mendirikan khemah untuk menempatkan penduduk yang terjejas akibat gempa bumi di sebuah sekolah rendah selepas gempa melanda Daerah Baqen, Bandar Nagqu di Wilayah Autonomi Tibet, barat daya China, pada Jumaat. - Gambar AP

Advertisement

BEIJING: China memperuntukkan 50 juta yuan (kira-kira AS$7.5 juta) bagi bantuan kecemasan bencana dan menyediakan tambahan 30 juta yuan untuk usaha pemulihan susulan gempa bumi bermagnitud 7.0 yang melanda Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China, lapor Xinhua.

Gempa bumi itu melanda Daerah Baqen di Bandar Nagqu pada 10.33 malam Khamis, mengakibatkan 16 orang maut dan 54 lagi cedera.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengurusan Kecemasan bersama-sama memperuntukkan 50 juta yuan bagi menyokong operasi menyelamat serta membantu penduduk yang terjejas manakala Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara memperuntukkan tambahan 30 juta yuan daripada belanjawan pusat untuk membantu memulihkan infrastruktur dan kemudahan perkhidmatan awam yang rosak.

China meningkatkan tahap tindak balas kecemasan gempa bumi negara daripada Tahap 4 kepada Tahap 3.

Pada petang Jumaat, Kementerian Pengurusan Kecemasan dalam satu kenyataan berasingan turut mengumumkan peningkatan tahap tindak balas bantuan bencana alam negara kepada Tahap 3. 

Kementerian itu berkata, kumpulan kerja bersama tambahan dihantar ke kawasan bencana bagi menyelia usaha bantuan.

Menurut kementerian itu, selain 5,000 barangan bantuan yang diperuntukkan kerajaan pusat sebelum ini, tambahan 5,000 barangan bantuan pusat turut disalurkan, termasuk khemah, kot dan katil lipat.

Melalui penyelarasan dengan agensi bantuan lain dan syarikat, kementerian itu turut menyalurkan segera 43,000 barangan bantuan tambahan, termasuk tandas mudah alih, dapur pemanas, makanan dan bahan api bagi memastikan penduduk terjejas mendapat penempatan yang sewajarnya.

Pasukan bomba dan penyelamat komprehensif kebangsaan China menghantar seramai 350 anggota penyelamat dan 83 kenderaan untuk operasi menyelamat. Kementerian Pengurusan Kecemasan turut membimbing jabatan pengurusan kecemasan Xizang dalam mengatur penempatan dron Wing Loong ke kawasan yang dilanda gempa bagi menjalankan tinjauan bencana.

Setakat 6.30 pagi Jumaat, seramai 120 anggota penyelamat bersama 27 kenderaan tiba di kawasan terjejas manakala baki 230 anggota penyelamat dan 56 kenderaan daripada kor bomba dan penyelamat Xizang sedang dalam perjalanan sebagai pasukan bantuan tambahan. 

Kesemua mereka telah memasuki kawasan pentadbiran Nagqu.

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat berkata, pihaknya bertindak pantas menyelaraskan pengendali telekomunikasi tempatan untuk menjalankan kerja pembaikan kecemasan terhadap kemudahan komunikasi yang terjejas.

Setakat 10.30 pagi Jumaat, kesemua 628 stesen pangkalan yang terhenti beroperasi akibat gempa bumi di Bandar Nagqu dipulihkan, menurut kementerian itu.

“Pada masa ini, komunikasi arahan kecemasan di semua peringkat kerajaan berjalan lancar dan perkhidmatan komunikasi awam beroperasi seperti biasa.”

Terdahulu, setakat 4.30 pagi Jumaat, pihak berkuasa menggerakkan bekalan bantuan dari peringkat pusat, wilayah, bandar dan daerah sebelum menghantarnya secara berperingkat ke kawasan terjejas.

Bekalan itu termasuk 1,000 unit rumah pasang siap, 3,239 khemah, 2,821 katil lipat dan 4,280 selimut, selain barangan keperluan lain.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement