KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang telah menjadikan 25 tahun pemerintahan baginda sebagai satu perjalanan yang gemilang dan penuh makna.
Baginda bertitah, Selangor kekal sebagai antara negeri terpenting di negara ini hasil sumbangan rakyatnya, termasuk mereka yang memilih untuk menetap di negeri ini.
“Perkara ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa peranan rakyat Selangor serta jutaan penduduk dari negeri lain yang bekerja di sini dan menjadikan Selangor sebagai tempat tinggal mereka.
“Saya bersyukur dan berbangga kerana telah menjadi pemerintah negeri ini selama 25 tahun dan Raja Muda selama 33 tahun,” titah baginda sambil menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan keafiatan.
Mengimbas kembali pemerintahan baginda, Sultan Sharafuddin bertitah, setiap tahun membawa cabaran dan nikmat tersendiri, namun momen paling bermakna ialah ketika bertemu rakyat Selangor, meraikan kejayaan dan bersama-sama mereka mengharungi detik sukar.
“Beta telah menyaksikan negeri ini terus berkembang menjadi antara pusat perdagangan, pendidikan dan inovasi terkemuka negara, sambil mengekalkan warisan budaya dan agama,” titah baginda dalam wawancara khas bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.
Baginda turut sukacita menyaksikan kejayaan yang dilakar oleh golongan muda daripada pelbagai kaum, perpaduan masyarakat ketika mendepani kesukaran, dan institusi bekerjasama demi kesejahteraan masyarakat.
“Semua ini menyedarkan kita bahawa kekuatan sebenar Selangor bukan terletak pada ekonominya semata-mata, tetapi juga pada rakyatnya,” titah baginda.
Ketika ditanya bagaimana pemahaman baginda mengenai perubahan kepimpinan sejak menduduki takhta, Sultan Sharafuddin bertitah kepimpinan pada hakikatnya berkait rapat dengan khidmat dan tanggungjawab.
“Seiring masa berlalu, beta kian memahami bahawa seseorang pemerintah perlu mendengar dengan teliti sebelum membuat pertimbangan, kekal tenang ketika berdepan ketidaktentuan dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
“Pengalaman menyedarkan beta bahawa kepimpinan memerlukan ketekalan, kesabaran dan kerendahan hati. Tanggungjawab seorang pemerintah bukan sekadar menangani isu semasa, tetapi juga memastikan masa depan generasi akan datang terpelihara,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemacu ekonomi Malaysia, di samping memperluas peluang dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, infrastruktur dan pelaburan.
“Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Negeri lain seperti Johor dan Pulau Pinang kini menjadi pesaing, tetapi persaingan yang sihat,” titah baginda.
Bagaimanapun, baginda menzahirkan dukacita kerana masalah asas, khususnya banjir dan kebersihan masih belum diselesaikan.
“Perkara asas seperti banjir dan kebersihan masih belum selesai, dan ia amat mendukacitakan. Beta masih menerima aduan mengenai kutipan sampah yang tidak memuaskan, penyelenggaraan kebersihan yang tidak mencukupi serta masalah banjir,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, rakyat sering menyampaikan aduan secara langsung kepada baginda berserta maklumat peribadi dan gambar, dan masalah ini kemudian dimaklumkan ke pejabat Menteri Besar.
“Usaha memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat Selangor yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang turut memainkan peranan penting.
“Kejayaan ekonomi hanya bermakna apabila manfaatnya dapat meningkatkan kehidupan rakyat jelata. Kemajuan tidak seharusnya diukur pada pencapaian angka semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesejahteraan, maruah dan peluang yang dinikmati rakyat,” titah baginda.
-- BERNAMA