BEIJING: China pada Selasa menyiarkan Kertas Konsep Inisiatif Keselamatan Global (GSI) yang memperincikan mengenai konsep teras dan prinsip inisiatif itu.

GSI yang dikemukakan Presiden China Xi Jinping pada April 2022 itu bertujuan menegakkan haluan dan menyediakan idea baharu bagi menangani masalah keselamatan yang didepani umat manusia.

Ia mendorong supaya pelbagai negara mengadakan dialog berbanding konfrontasi, menjadi rakan berbanding sekutu dan mengejar kerjasama saling untung.

Pada masa ini, GSI disokong olehpertubuhan dari lebih 80 buah negara dan kawasan.

Inisiatif itu merujuk kepada komitmen memegang konsep keselamatan yang komprehensif, bersifat bekerjasama dan mampan; menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah negara lain, mematuhi manifesto dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); mengambil berat kebimbangan munasabah semua pihak dalam isu keselamatan; menyelesaikan percanggahan antara negara menerusi dialog serta rundingan, selain bertindak memelihara keselamatan konvensional dan bukan konvensional.

Kertas Konsep GSI itu menggariskan hala tuju kerjasama membabitkan 20 aspek utama yang menjadi keprihatinan dalam bidang keselamatan antarabangsa yang paling mendesak pada masa ini.

Ia termasuk menyokong penuh peranan teras PBB dalam tadbir urus keselamatan, mendorong penyelesaian isu hangat menerusi dialog, bertindak balas secara berkesan terhadap cabaran keselamatan konvensional dan bukan konvensional,serta menambah baik sistem tadbir urus keselamatan global.

GSI turut menuntut agar semua negara perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan dunia dengan menyifatkan ia sebagai hak pelbagai negara dan bukan milik beberapa negara tertentu.

China berharap pelbagai pihak mengambil bahagian dalam GSI untuk menyumbang kepada kedamaian dan keamanan dunia.

-- BERNAMA